KOTA BHARU - Tindakan orang ramai yang mengambil barang ketika kemalangan tanpa izin pemiliknya adalah haram dan digesa untuk segera memulangkan atau menggantikannya.
Imam Tua Masjid Mukim Pauh Sembilan, Mohd Yuzakky Mohd Yusof berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud ‘setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram maka neraka lebih berhak baginya’, hadis Riwayat At-Tirmidzi.
Beliau berkata, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk menggantikannya semula maka dia perlu bertemu pemilik barangan itu dan memohon untuk meminta halal bagi barangan yang telah diambilnya.
"Perbuatan mengambil barangan orang tanpa izin itu adalah haram. Kebetulan sebelum khutbah Jumaat semalam saya sempat memberikan nasihat kepada jemaah masjid yang hadir agar sesiapa yang telah mengambil susu ketika kemalangan lori di Kampung Beris Pintu Gerbang itu segera memulangkannya.
"Saya dapat tahu ada juga penduduk mukim ini yang ambil susu itu kerana jarak kampung hanya bersebelahan.
"Saya nasihatkan orang ramai jangan gelojoh mengambil barang orang yang kemalangan kerana mereka adalah mangsa yang perlu dibantu dan bukan diambil kesempatan atas kesulitan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dalam kemalangan lori membawa muatan susu pekat di Beris Pintu Gerbang, Bachok Rabu lalu, orang ramai dikatakan telah mengambil susu berkenaan yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikat pengangkutan tersebut.
Anak pemilik syarikat lori itu telah memuat naik status di laman sosial untuk memaklumkan orang ramai agar memulangkan susu itu dan laporan polis telah dibuat mengenainya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya halalkan susu'
Terima kasih kerana pulangkan susu
Pemilik lori terbalik minta pulangkan semula susu