KOTA BHARU - Seorang penduduk Kampung Limbat dekat sini tidak menyangka akan menemui spesis kulat unik yang besar ketika membersihkan kebun durian milik bapanya, hari ini.
Khairudin Mat Lazim, 38, berkata, kulat Afrika Barkely's Polypore yang lazimnya ditemui di Afrika dan Amerika Utara itu ditemui di pinggir kebun durian seluas 0.46 hektar.
Katanya, pada mulanya beberapa orang tua di kampung itu dibawa untuk mengenal pasti kulat itu namun tiada yang pernah melihat kulat besar seperti susunan ranggi bunga itu.
"Kami jumpa kulat yang unik itu dalam semak ketika bersihkan pinggir kebun dekat dengan paya. Selepas bertanyakan orang kampung pun mereka tak tahu kulat itu jenis apa.
"Jadi saya cuba mencari maklumat dalam internet dan dapati ia seperti spesis Barkely's Polypore, tapi saya tak pasti mengenai kesahihannya dan merakam gambar itu untuk kenangan keluarga sahaja," katanya hari ini.
Khairudin berkata, berdasarkan maklumat yang ditemuinya kulat itu memiliki susunan kepingan keras, mudah tersebar luas dan tumbuh di pangkal pokok berbatang keras yang juga tergolong sebagai pokok parasit.
Menurutnya, spesis kulat dengan nama saintifiknya Bondarzewia itu banyak ditemui di Afrika dalam pelbagai bentuk dan saiz lebih besar.
Khairudin berkata, pada mulanya dia menyangkakan tumbuhan itu adalah spesis Rafflesia namun apabila diteliti tekstur bentuknya lebih mirip kulat bersaiz besar yang tidak pernah dilihat seumur hidupnya.