KLANG - Pusat Pemborong GM Klang terus komited untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara pelbagai agensi dan pihak media melalui penganjuran GM10 Ole Futsal 2019 yang berlangsung di U One Sport Centre, Bukit Raja, di sini hari ini.
Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu juga bertujuan meraikan ulang tahun ke-10 pusat pemborong itu tahun ini.
Iklan
Iklan
"GM10 Ole Futsal 2019 merupakan salah satu program yang bukan sahaja mempromosikan aktiviti sihat, tetapi ia juga merupakan ruang untuk merapatkan hubungan kerjasama dengan agensi yang selama ini banyak memberikan sokongan kepada kami.
"Jika sebelum ini kami berjumpa atas dasar kerja, kali ini, GM10 Ole Futsal berjaya menyatukan kami dalam satu acara sekali gus memperkukuhkan hubungan sedia ada,” katanya.
Menurutnya, ulang tahun ke-10 GM Klang yang bertemakan ‘Raikan Sedekad Penuh Warna’ memberi peluang untuk pihaknya menghargai semua agensi terlibat selain mengadakan aktiviti bersama komuniti.
Kejohanan yang menawarkan hadiah kesuluruhan bernilai RM6,000 itu disertai masing-masing 12 pasukan lelaki dan wanita melibatkan beberapa agensi seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tourism Malaysia, Persatuan Pemborong Malaysia (PPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan pihak media.
MPK berjaya muncul juara bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita didominasi pasukan UiTM.