DUNGUN -"Khabar gembira anak ditemui masih hidup ibarat hadiah hari lahir paling indah seumur hidup saya," kata Mohd Awalludin Adam, bapa kepada salah seorang daripada tiga pekerja resort yang hilang di laut sejak Rabu lalu.
Anaknya, Mohammad Firdaus, 25, bersama dua lagi rakan, Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, dan Fauzi Mohamad, 40, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 11.45 malam tadi.
Mohd Awalludin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 semalam berkata, dia bersyukur kerana ALLAH SWT memakbulkan doanya agar anaknya kembali dalam keadaan selamat meskipun peluang itu agak tipis.
"Saya anggap ini satu keajaiban. Anak dan dua kawannya ibarat diberi nyawa kedua.
"Ia sebab pernah terdetik di hati saya mungkin anak dah tiada bila usaha pencarian tak temui apa-apa petunjuk, namun kuasa ALLAH atasi segala-galanya," katanya dengan mata bergenang sambil mengukir senyuman ketika ditemui lewat petang tadi.
Pengawal keselamatan dari Taman Universiti, Skudai, Johor itu berkata, dia mengetahui berita penemuan kesemua mangsa itu pada jam 12 tengah malam tadi selepas dimaklumkan pengurus resort tempatnya menginap di Jeti A'king, Kuala Dungun.
Kata bapa kepada empat anak itu, sebaik mengetahui berita tersebut,dia segera melakukan sujud syukur.
Menurutnya, sejak kehilangan anaknya, dia tidak dapat tidur lena dan sering menangis kerana memikirkan anak keduanya itu.
"Akhirnya berkat sabar dan tak putus-putus berdoa, anak pulang ke pangkuan kami semula dan kami rancang nak berangkat pulang ke Johor tengah hari esok selepas semua urusan selesai.
"Saya nak buat kenduri doa selamat dan kesyukuran untuknya," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Awalludin berkata, dia tidak akan menghalang anaknya untuk terus bekerja di resort Pulau Tenggol kerana memahami jiwa kental anaknya.
"Dia memang suka kerja yang berisiko dan saya faham minatnya, cuma mungkin saya akan hantar dia untuk ambil kursus berkaitan kerjanya seperti pemandu bot atau yang berkaitan dengannya," katanya sambil memberitahu anaknya baharu bekerja di pulau tersebut sejak tiga bulan lalu.
Sementara itu, bapa Mohammad Hafiz, Abdul Rahim Endut, 54, berkata, doanya agar berlaku keajaiban dimakbulkan dan menjadikan sambutan Aidiladha buatnya sekeluarga tahun ini sangat menggembirakan.
"Hanya ALLAH SWT yang tahu hati pakcik saat diuji dengan ujian berat ini saat Aidiladha makin dekat tapi ALLAH Maha Penyayang sebab dilindungi anak pakcik.
"Ketika dia hilang, pakcik terlintas mungkin bot dinaikinya karam atau ditimpa kemalangan tengah laut dan hati kecil pakcik tak putus-putus berdoa," katanya.
Menurut Abdul Rahim dia tidak sabar menyambut kepulangan anaknya yang dijangka tiba di Jeti APMM Terengganu di Kuala Terengganu tengah malam ini.
Katanya, Mohammad Hafiz yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik bekerja sebagai pekerja am di resort di pulau tersebut dan tidak pulang bercuti sejak lebih dua bulan kerana terlalu sibuk.
Dalam insiden Rabu lalu, ketiga-tiga mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Jeti A'king untuk menghantar bekalan air minuman dan tong gas memasak ke Pulau Tenggol sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang