IPOH - Mengubah suai motosikal bagi mendapatkan kelajuan maksimum dan menunggangnya dengan aksi lagak Superman merupakan antara aksi dipertontonkan sepanjang Op Samseng Jalanan di tiga lokasi sekitar Ipoh awal pagi tadi.
Operasi dijalankan di sekitar kawasan Falim, Jelapang dan Station 18 bermula jam 11 malam hingga 6 pagi itu berjaya menahan 10 lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun dan menyita 10 motosikal.
Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abdul Razak berkata, semua motosikal yang disita merupakan jenis trend terkini antaranya Yamaha model Y15ZR atau lebih dikenali Y-Suku yang telah diubah suai.
"Motosikal lain yang ditahan untuk pemeriksaan ialah Honda EX5 dan Yamaha 125Z, kesemuanya dipercayai sudah diubah suai untuk kegiatan lumba haram.
"Pemeriksaan lanjut juga mendapati hanya dua daripada 10 penunggang yang ditahan memiliki lesen," katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini.
Menurutnya, operasi membabitkan enam pegawai dan 42 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, JSPT Perak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai mengenai kegiatan lumba haram terutama pada malam minggu di sekitar Ipoh.
"Dalam operasi ini, sebanyak 58 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Seorang daripada penunggang motosikal yang ditahan alami cedera pada tangan, kaki dan dagu akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis," katanya.