KUALA KANGSAR - Kekuatan di peringkat akar umbi dilihat lebih penting dalam usaha memastikan survival UMNO dalam arena politik negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kekuatan di peringkat akar umbi dilihat banyak memainkan peranan untuk memastikan parti berkenaan terus relevan hari ini.
"Walaupun kepimpinan dilihat penting, namun yang lebih penting adalah di peringkat akar umbi. Dia macam piramid. Kalau asasnya kuat, apa juga yang berlaku di atas, piramid itu masih kukuh. Macam itulah UMNO.
"Kita ada 3.5 juta ahli dan mungkin selepas pemutihan kita ada 3.2 juta. Mereka inilah yang akan terus memperkasakan UMNO," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap-Sayap Bahagian Kuala Kangsar di Kompleks UMNO Kuala Kangsar hari ini.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, Datuk Azian Osman (Setiausaha), Datuk Zolkafly Mohamad (Penerangan), Ketua UMNO Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman dan Yang Dipertua Pas Kuala Kangsar, Khalil Idham Lim.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, tarikh 14 September bakal menyaksikan piagam UMNO dan Pas dimeterai secara rasmi di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra.
Bagaimanapun katanya, UMNO masih belum membincangkan mengenai sebarang usaha berhubung kewujudan piagam bersama antara UMNO, MCA dan MIC.
"Kita tak tahu lagi dan belum dibincangkan lagi. Terlalu awal. Tetapi yang penting, dalam piagam itu kita ada nyatakan kita akan menjaga kepentingan kaum bukan Melayu dan bukan Islam. Tapi, ia belum dibincangkan.
"Yang pentingnya, sekarang ini kita nampak MCA dan MIC selesa dengan Pas. MCA dan MIC ada melawat ibu pejabat Pas, malah ketika bertanding di Balakong, Pas hantar orang dia. Hubungan tu dah ada," katanya.