KUALA LUMPUR - Bayi luar nikah tidak seharusnya dibuang sebaliknya boleh diselamatkan dan diberi perlindungan kepada keluarga angkat yang amat memerlukan bayi berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sudah sampai masanya isu itu ditangani dan diuruskan dengan lebik baik, daripada membuang bayi tidak berdosa itu sehingga ada yang membawa kepada kematian.
Beliau seterusnya menggesa golongan remaja perempuan dan wanita yang hamil luar nikah supaya tidak membuang bayi yang dilahirkan, sebaliknya mereka diminta menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bayi itu dapat diselamatkan untuk dijadikan anak angkat pasangan memerlukan.
"Fokus utama kami sekarang ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan, kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga.
"Golongan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999, dan JKM akan ke lokasi di mana mereka berada untuk melihat apa yang boleh dibantu,” katanya semasa berucap merasmikan kempen mencegah pembuangan bayi #SaveALife, di sini hari ini.
Justeru, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan memerlukan sokongan serta kerjasama semua pihak, dan tidak bekerja secara bersendirian dalam menangani isu yang meruncing itu.
Tegasnya, usaha memupuk kesedaran masyarakat sedang giat dilakukan bersama badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Amal Silatulrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia yang dikenali sebagai ‘Kasih Malaysia’, dan pihak berkuasa melalui #SaveALife dalam mengurangkan kes pembuangan bayi di negara Ini.
"Program ini bukan bermakna kita (kerajaan) galakkan orang buat seks luar nikah. Tapi kita ingin beri perlindungan khasnya kepada bayi dan juga wanita hamil luar nikah. Kita perlu fokus kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan kedua-dua bayi serta ibunya. Ini kerana institusi kekeluargaan adalah sangat penting,” katanya.
Menurutnya, kementerian juga mempunyai kaunselor yang bertauliah dalam mengendalikan kes-kes seumpama itu yang sentiasa bersedia untuk membantu memberi pelindungan kepada wanita dan bayi mereka.
"Saya yakin kempen #SaveALife ini akan mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai isu risiko kehamilan luar nikah dan komplikasinya, kesihatan seksual reproduktif dan pembuangan bayi.
"Mudah-mudahan lebih banyak nyawa bayi yang tidak berdosa di luar sana, dapat diselamatkan pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut merasmikan bas kementerian sebagai simbolik pelancaran, yang antara lain berfungsi memberi maklumat kepada orang ramai dalam kempen tersebut.
Sementara itu, pada sidang akhbar di lokasi yang sama, timbalannya, Hannah Yeoh berkata, sepanjang tahun lepas, Talian Kasih menerima 15,000 panggilan daripada wanita yang mengharapkan bantuan akibat mengandung luar nikah.
"Kita harapkan orang ramai akan menghubungi talian itu sebagai talian utama sebagai sumber rujukan. Janganlah buang bayi anda,” katanya. - Bernama