BENTONG - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas 15 tong dram dipercayai mengandungi bahan kimia pepejal yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Felcra Sempa, Karak di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, D R Kamache berkata, tindakan tegas perlu kerana bahan kimia sodium sianida yang ditemui itu mampu mengancam kesihatan masyarakat sekitar, khususnya pelajar dan kanak-kanak.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mementingkan keuntungan berbanding menjaga kepentingan alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat.
"Saya mengharapkan pihak berkuasa dan agensi terlibat mencari sampai dapat siapa yang terlibat dan harus diberi hukuman dan tindakan setimpal dengan perbuatannya.
"Penemuan ini amat merisaukan dan kita memandang perkara itu amat serius dan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kesihatan orang ramai, tetapi juga alam sekitar.
"Kita tidak mahu masyarakat di sini terjejas disebabkan bahan kimia tersebut," katanya.
15 tong dram yang dipercayai mengandungi bahan kimia pepejal di kawasan ladang kelapa sawit Felcra Sempa, Karak ditemui menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Sampel bahan kimia yang terdapat dalam tong tersebut telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor untuk tindakan lanjut.