KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) belum mempunyai perancangan untuk menyertai perpaduan ummah melibatkan kerjasama UMNO dan Pas.
Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, parti itu bagaimanapun masih kekal bersama Pas dalam Gagasan Sejahtera.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk parti itu memikirkan perkara berkenaan dan buat masa ini fokus mereka adalah mengenai perjuangan Ikatan.
"Setakat ini kita belum fikir sama ada hendak bersama dengan Pas dan UMNO dalam Perpaduan Ummah. Kita tengok dulu macam mana.
"Lagi pun masih terlalu awal untuk kita buat sebarang keputusan atau pendirian kerana kerjasama Pas dan UMNO masih baharu.
"Belum ada apa-apa hala tuju yang tetap,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Dewan Pemuda Ikatan Malaysia dan Majlis Penyampaian Watikah Dewan Pemuda Ikatan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas mengenai pendirian Ikatan berhubung tempoh pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi polemik, Abdul Kadir berkata, pihaknya antara yang terawal menyatakan solidariti terhadap kepimpinan beliau.
"Ikatan secara rasmi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Mana yang baik, kita beri sokongan. Setakat ini kita tak nampak kepincangan sepanjang lebih setahun Dr Mahathir menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, sayap parti itu mendukung agenda memperkukuhkan Pemuda Gagasan Sejahtera bersama Pas dan Berjasa.
"Pemuda Ikatan bersetuju untuk melebarkan, membina dan memperkukuhkan hubungan permuafakatan bersama parti-parti politik blok pembangkang yang lain serta NGO.
"Selain itu kita akan memperbanyakkan program-program berkaitan anak muda di peringkat nasional dan negeri bagi membela nasib mereka yang tertipu dengan janji palsu PH," katanya.