DUNGUN - Kemudahan liputan selular di sekitar perairan Dungun dicadang untuk dinaik taraf ekoran tragedi tiga pekerja resort hanyut di laut.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, masalah liputan selular yang lemah di kawasan itu membataskan perhubungan terutama ketika berlakunya kes kecemasan di laut.
Katanya, cadangan menaik taraf kemudahan itu akan dibentangkan beliau dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen akan datang.
"Kertas cadangan berhubung perkara ini akan dibuat dan diusulkan di Parlimen nanti demi kemudahan semua pemain industri.
"Ini sebab kita sering mendengar keluhan dari pemain industri seperti nelayan dan pengusaha bot mengenai kesukaran berhubung ketika berada di kawasan perairan ini," katanya ketika menziarahi keluarga pekerja resort itu di pos operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti A'king Kuala Dungun di sini hari ini.
Wan Hassan berkata, kejadian tiga pekerja resort itu hanyut menunjukkan kerajaan Pusat perlu mengambil langkah drastik kerana apabila kes kecemasan berlaku ia menyukarkan pasukan SAR melaksanakan operasi.
Menurutnya, meskipun kerja menaik taraf liputan selular itu memerlukan kos yang sangat tinggi tetapi langkah itu akan merancakkan lagi pembangunan di Dungun.
"Kita percaya kerajaan Pusat mempunyai mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama dan diharapkan ia dapat dinaik taraf nanti," katanya.
Katanya lagi, beliau juga bercadang mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk perbincangan secara terperinci tentang perkara itu.
Sementara itu, ketiga-tiga mangsa yang hilang ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 11.45 malam semalam di perairan antara Vietnam-Thailand.
Kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika dalam perjalanan menghantar bekalan air minuman di Pulau Tenggol selepas berlepas di Jeti A'king Kuala Dungun.