MELAKA TENGAH - Rakyat negara ini perlu mengekalkan keharmonian dan kemakmuran walaupun kadang kala timbul suara-suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman antaranya menimbulkan isu-isu perkauman.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia perlu menolak fahaman sempit sedemikian dan tetap berpegang kepada prinsip tolak ansur dan hormat-menghormati demi menjayakan agenda-agenda nasional.
"Seiring dengan negara mencapai kematangan, saya yakin rakyat Malaysia sekarang mampu menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang mahu memecah-belah perpaduan kita.
"Kematangan ini juga akan menjadi pendorong kepada hasrat kerajaan untuk memajukan negara agar kemakmuran yang dicapai dapat kita nikmati bersama," katanya dalam ucapan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di sini malam ini.
Kira-kira 30,000 orang ramai membanjiri Dataran Pahlawan Banda Hilir, di sini sempena program berkenaan.
Tambahnya, golongan muda terutamanya perlu menghentikan persepsi 'mudah selesa' bagi mengelak negara menjadi mundur serta berkemungkinan dijajah untuk kali kedua daripada sudut penjajahan minda dan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan bimbang kerana generasi muda hidup dengan penuh keselesaan sehingga mereka tidak sedar betapa banyak pengorbanan yang dilakukan untuk membawa negara ke tahap hari ini.
"Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan dan perjuangan bangsa kerana bagi mereka, keadaan selesa ini adalah biasa dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka.
"Persepsi seperti inilah yang boleh meruntuhkan negara maka semangat patriotisme dan jati diri perlu dipupuk dalam diri generasi muda kerana keperibadian mereka mencerminkan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang," katanya.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 pada majlis tersebut.
Sementara itu, pengunjung, Chow Zhel Xi, 21, berkata, dia semangat melihat kebanjiran orang ramai memeriahkan program ini sekali gus memperlihatkan keharmonian berbilang kaum.
Menurutnya, sudah pasti sebagai rakyat Melaka dia berasa teruja dan memanfaatkan cuti semester untuk bersama meraikan pelancaran program yang julung kali diadakan di negeri ini.
"Seronok melihat bukan sahaja kemeriahan Jalur Gemilang yang berkibar di sana sini, malah orang ramai yang hadir. Saya bangga kerana pelancaran ini diadakan di Melaka," katanya.
Bagi T Naveena, 18, dia yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang berkata, apa yang membuatkan dia lebih teruja kerana mahu melihat Perdana Menteri berucap di depan mata.
"Sebelum ini saya hanya melihat beliau di televisyen sahaja, dan bila ada peluang seperti ini saya sanggup datang bersama rakan untuk melihat beliau di depan mata.
"Sejak dulu lagi saya dan bapa (S Thandayuthapani) minat Dr Mahathir kerana kredibiliti beliau sebagai pemimpin dihormati," katanya.
Manakala pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah Klang Selangor, Nurul Liyana Yusnan, 17, berkata, dia mengambil kesempatan melawat kakaknya di Melaka dengan datang ke lokasi ini.
"Banyak yang kita boleh belajar di sini, bukan sekadar program biasa lebih-lebih membarakan semangat patriotik dan membuktikan rakyat bersatu semua kaum ada dan tiada asabiah kaum," katanya.