BAGAN DATUK - Wanita UMNO mendesak supaya pemimpin yang disiasat polis khususnya jenayah seksual direhatkan daripada tugas.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, tindakan membenarkan seorang Exco Kerajaan Perak yang disiasat berkaitan kes rogol amah warga Indonesia meneruskan tugas mencetus ketakutan kepada sesetengah wanita yang berurusan dengannya.
Iklan
Iklan
Menurutnya, keadaan itu dilihat janggal kerana sepatutnya pemimpin negeri itu direhatkan sehingga dibuktikan benar-benar bersih daripada tuduhan.
"Selalunya orang lain bercuti tapi beliau dipanggil polis dan boleh bertugas. Sepatutnya Pakatan Harapan (PH) arahkan dia bercuti. Dia pandai desak parti lain supaya bercuti.
"Kita sebagai wanita pun rasa marah. Berita ini sampai sudah sampai ke luar.
"Kita bimbang orang akan anggap negara ini tak selamat untuk wanita,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana semalam.