Ambulans terbalik: Pemandu, pesakit warga emas maut

Iklan

TANJUNG MALIM [DIKEMASKINI] - Dua termasuk seorang pesakit warga emas maut setelah ambulans dinaiki terbabas merempuh pengadang jalan lalu terbalik dalam kejadian di KM368.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dari Felda Gunung Besout, Sungkai dan pesakit, Azizah Binti Dolah, 66, dari Felda Gunung Besout 2, Sungkai meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Selain itu, dua lagi penumpang iaitu jururawat, Nur Aliesa Hashim, 28, dan pembantu perubatan, Khairul Azani Khairuddin,40, mengalami kecederaan ringan, manakala seorang doktor yang turut bersama mereka, Dr Ainaa Athirah Abdullah, 29, tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, kira-kira jam 7 pagi, polis menerima maklumat awam terdapat satu kemalangan maut membabitkan sebuah ambulans yang terbabas sendiri di lokasi kejadian.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa ambulans itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menghala ke Hospital Slim River melalui Lebuhraya Utara Selatan, tayar belakang kanan kenderaan itu pecah setibanya di lokasi kejadian.

"Kejadian itu menyebabkan ambulans berkenaan terbabas dan melanggar pengadang tepi jalan lalu terbalik di lokasi kejadian.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

"Selain itu, mangsa pesakit warga emas juga maut di tempat kejadian setelah peralatan bantuan pernafasan tercabut," katanya kepada media di sini hari ini.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Slim River membantu mengalihkan mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans di KM368.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi.

Zakaria berkata, dua lagi mangsa yang merupakan seorang jururawat dan pembantu perubatan, masing-masing berusia 28 dan 40 tahun, mengalami kecederaan ringan.

Katanya, hanya seorang lagi penumpang ambulans yang bertugas sebagai doktor tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua mangsa maut sudah dihantar ke bilik mayat Hospital Slim River untuk bedah siasat.

"Polis sudah memaklumkan kejadian itu kepada waris masing-masing dan darah mereka turut diambil untuk ujian toksikologi," katanya.

Zakaria berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.