Uniform tentera berusia 86 tahun, imbas sejarah sebelum merdeka

Iklan
Tiga adik-beradik (dari kanan) Nurul Liyana Yusnan, 17, Nurul Amirah, 20 dan Nurul Batrisyia, 16, tidak melepaskan peluang berswafoto dengan dua anggota tentera yang mengenakan pakaian tentera Jepun dan askar Melayu di ruang pameran Muzium Tentera Darat Port Dickson di Dataran Pahlawan, Melaka hari ini.

MELAKA TENGAH - Kehadiran dua anggota berpakaian lengkap uniform Askar Melayu pada zaman British dan tentera Jepun pada zaman perang dunia kedua di pameran Muzium Tentera Darat di sini menarik perhatian orang ramai.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan dua anggota tentera yang mengenakan uniform dihasilkan pada 1933 di reruai (booth) pameran yang diadakan bersempena pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Iklan
Iklan

Penyelia Pameran dan Promosi, Muzium Tentera Darat Port Dickson, Staff Sarjan Haidzaan Yusof berkata, objektif utama Tentera Darat Diraja Malaysia memilih konsep tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang sejarah negara sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

"Sepanjang tempoh pameran tiga hari yang bermula Jumaat lepas, kita tempatkan dua anggota Tentera Darat berpakaian lengkap uniform asli Askar Melayu dan tentera Jepun bagi membolehkan orang ramai melihat secara dekat uniform berusia 86 tahun itu.

Iklan

"Kita harap dengan cara ini dapat menarik minat orang ramai khususnya generasi muda untuk memahami sejarah negara, lebih-lebih lagi pada bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Selain daripada uniform, pihak Muzium Tentera Darat turut mempamerkan beberapa artifak lain seperti topi besi tentera British, pelbagai jenis senapang serta peralatan lain berkaitan dengan ketenteraan yang digunakan oleh tentera British dan tentera Jepun pada zaman perang dunia kedua.

Iklan

Seorang pengunjung, Sharim Dol, 46, dari Bukit Rambai yang berasa teruja apabila dapat berswafoto dengan anggota tentera berpakaian uniform lama itu.

"Saya rasa gembira dapat bergambar dengan anggota tentera berpakaian uniform tentera British sebagai kenangan yang sedikit sebanyak memberi peringatan kepada kita rakyat Malaysia supaya menghargai keamanan hari ini.

"Apa yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu yang sanggup bermandikan keringat dan darah demi kebahagiaan anak bangsanya,” kata penjawat awam itu. - Bernama