BAGAN DATUK - Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengetuai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dipercayai sedang cuba menarik ahli UMNO untuk menyertai parti berkenaan.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, usaha itu disedari sejak sebulan lalu dengan modus operandi dilakukan dari rumah ke rumah.
Menurutnya, bagaimanapun usaha tersebut tidak begitu membuahkan hasil kerana ahli-ahli UMNO tidak berminat untuk menyertai Putra.
"Kita terima laporan daripada ahli-ahli UMNO sendiri tentang usaha itu dan ramai tidak berminat menyertai parti itu.
"Walaupun usaha itu bukan satu ancaman besar, namun kita berikan penjelasan sebenar terhadap pelbagai dakwaan untuk mengelak rakyat tertipu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.
Muhammad Amin berkata, bekas ADUN itu menggunakan pelbagai alasan untuk memujuk ahli UMNO bahagian itu menyertai Putra.
Beliau berkata, antara alasan dikemukakan kononnya UMNO akan dibubarkan dan Putra bakal menggantikan parti itu.
"Nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut digunakan untuk menarik minat ahli UMNO menyertai parti itu.
"Kononnya penubuhan Putra direstui Penasihat Barisan Nasional itu," katanya.
Katanya, beliau turut menafikan bahawa UMNO Bahagian Larut sedang bergolak sebaliknya menjelaskan usaha tersebut dilakukan oleh individu yang mungkin kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
"UMNO Bahagian Larut sudah ada strategi terbaik untuk menangani isu ini dan kita percaya ahli-ahli kita tidak akan terpengaruh.
"Usaha pihak tertentu yang suka memecah-belahkan orang Melayu di Larut pasti akan ditolak oleh ahli-ahli UMNO di bahagian ini," katanya.