KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI]"Kami hanya fikir soal hidup dan mati sahaja sepanjang tiga hari berada di laut, ditambah pula dengan keadaan laut yang ketika itu sangat bergelora," kata Fauzi Mohamad, 40, salah seorang pekerja resort di Pulau Tenggol, Dungun, yang hilang sejak 31 Julai lalu.
Fauzi bersama dua lagi rakan sekerjanya, Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, ditemui semula di sempadan perairan negara dan dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas kelmarin.
Menceritakan saat-sat detik cemas itu, menurut Fauzi, dia dan rakannya nampak semua aset penyelamat sedangkan kedudukan mereka ketika itu tidak begitu jauh.
"Macam-macam tanda isyarat telah kami berikan, pasang lampu, kibar kain tapi mereka masih tidak nampak kami.
"Kami hanya ikat perut dengan air sahaja. Nasib baiklah air mineral yang ada mencukupi. Setiap kali lapar, kami minum air," katanya yang turut menjelaskan dia tidak tidur sepanjang tiga hari itu.
Jelas Fauzi yang sudah tujuh tahun bekerja di resort, sebagai individu paling tua, dia perlu sentiasa memberi semangat kepada dua rakannya itu.
"Masuk hari kedua, mereka nampak sudah berputus asa dan tidak mahu lagi berusaha mencari jalan menyelamatkan diri.
"Jadi saya beri mereka semangat yang kami akan selamat dan ALLAH akan tolong," katanya.
Difahamkan kesemua mangsa yang menaiki Kapal Maritim dari Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas hingga ke Muara Kuala Terengganu sebelum dijemput oleh bot APMM, kira-kira jam 7 pagi.
Mereka selamat tiba di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu dengan menaiki bot milik APMM Terengganu, kira-kira jam 8.45 pagi tadi.
Ketibaan mereka dijemput oleh Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan APMM, Mohd Yusoff Aman dan pihak pengurusan resort (majikan).
Bagaimanapun, hanya terdapat beberapa ahli keluarga mangsa sahaja yang hadir dilokasi dan difahamkan mereka menunggu di resort disediakan oleh pihak majikan mangsa yang terletak di Dungun.
Kesemua mangsa dibawa menaiki ambulans untuk di hantar ke Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapat rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang bertemu ahli keluarga masing-masing.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan bot pelancong dinaiki mangsa iaitu dua pemandu bot dan seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengah hari.
Kehilangan mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, jam 4 petang.
Selepas tiga hari dilaporkan hilang, tiga pekerja resort terbabit diselamatkan bot laut dalam tempatan yang dikendalikan warga Thailand di sempadan perairan negara sebelum dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas.
ARTIKEL BERKAITAN:Tiga pekerja resort dibawa pulang
Tiga hari hilang di laut: Pekerja resort ditemui selamat
Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang