KUALA LANGAT - Mahu bunyi bising dan hendak menarik perhatian antara alasan penunggang motosikal yang sanggup berhabis duit untuk mengubah suai kenderaan mereka.
Namun tindakan mengubah suai dan tidak mengikut spesifikasi itu hanya mengundang padah selepas polis bertindak menyita 36 buah motosikal dalam operasi Op Samseng Jalanan di Jalan Bukit Kemendol, Telok Panglima Garang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi itu dijalankan bermula jam 4 petang dengan kekuatan tiga pegawai dan 13 anggota.
"Sebanyak 101 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 79 penunggang motosikal berusia lingkungan 13 hingga 40 tahun.
"Kesalahan tidak memakai topi keledar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 36 saman, diikuti tidak memiliki lesen dengan 21 saman.
"Kesalahan lain yang direkodkan adalah penunggang bawah umur (13 saman), cermin sisi (8) dan lain-lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Azizan berkata, operasi itu tamat jam 10 malam turut melakukan pemeriksaan terhadap 57 buah motosikal dengan 36 buah disita kerana ubah suai kenderaan seperti enjin, ekzos selain menggunakan tayar yang tidak sesuai.
"Pelbagai motosikal yang dikesan diubah suai antaranya jenis Yamaha Lagenda, Modenas Kriss, Yamaha Y15 dan Honda EX5," katanya.
Dalam pada itu, Azizan turut menegaskan penunggang motosikal usah ambil mudah penggunaan topi keledar kerana ia bukan sahaja satu kesalahan tetapi kebarangkalian bagi mereka yang terlibat dalam kemalangan hampir 70 peratus maut.
"Polis tidak akan tolak ansur dalam kesalahan seperti ini dan kita akan jalankan operasi secara berterusan dengan risikan dan maklumat," katanya.