NUTP mohon UPSR dimansuhkan

Iklan
Kenyataan media NUTP yang dikeluarkan hari ini.

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon supaya Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan segera peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara.

NUTP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berpandangan peperiksaan itu bukan lagi keperluan jika murid terpaksa menanggung beban untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Iklan
Iklan

Katanya lagi, pemansuhan UPSR itu juga dilihat dapat mengurangkan tekanan dan beban murid, selain dapat mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan keputusan 'A' itu merupakan kayu pengukur kualiti seseorang murid.

"Pihak NUTP pernah menyatakan persetujuan dan menyokong cadangan yang pernah diumumkan bekas Menteri Pendidikan pada tahun 2016 lagi tetapi sehingga kini tiada maklum balas daripada pihak KPM.

Iklan

"Pemansuhan UPSR tidak bermakna murid tidak akan dinilai sama sekali terutama berhubung kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

"Sebaliknya tetap akan dinilai seperti ujian berasaskan pentaksiran oleh sekolah masing-masing dan bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya memohon agar turut dilibatkan bersama oleh KPM dalam sesi perbincangan bagi memuktamadkan cadangan itu.

"NUTP juga sedia bersama-sama KPM untuk membantu bagaimana UPSR dimansuhkan selain membuat penambahbaikan terhadap pentaksiran berasaskan sekolah supaya ada instrumen yang dapat membantu guru-guru ke arah kecemerlangan murid," katanya.