Kerajaan Johor tetap ambil tanggungjawab: MB

Iklan
Sahruddin hadir ke Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di sini hari ini.

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden yang berlaku di Pasir Gudang agar tidak terus berulang.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri berasa sedih dan terkilan kerana pembangunan yang dirancang pada suatu ketika dahulu di Pasir Gudang, tidak mengambil kira kelestarian dan kesan jangka panjang terhadap penduduk.

Iklan
Iklan

"Namun, kita tidak mahu hanya menuding jari kerana kita sedar, ia tidak dapat menyelesaikan masalah.

"Oleh itu, pada hari ini kita mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden ini supaya tidak terus berulang," katanya," katanya ketika berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar; Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani.

Sahruddin berkata, bagaimanapun, setiap usaha mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden di Pasir Gudang tidak boleh dilakukan sekelip mata.

Iklan

Katanya, setiap tindakan perlu dirangka dengan komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar kesannya memberi manfaat kepada generasi akan datang.

"Justeru, sesi townhall pada hari ini diadakan bagi memberi penerangan kepada masyarakat terhadap situasi sebenar insiden masalah kesihatan yang berlaku di Pasir Gudang,

"Hal ini penting agar ia tidak terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat sekaligus menamatkan spekulasi negatif terhadap tindakan kerajaan sedia ada," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut menekankan kepada jabatan dan agensi terlibat supaya terus mengambil tindakan susulan dari masa ke semasa sama ada dalam bentuk pemantauan serta penguatkuasaan khusus kepada pemain industri.