JELI - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dalam proses mengenal pasti lima lokasi berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di negeri ini sekali gus membantu menjana ekonomi setempat.
Timbalan Pengerusinya, Dr Aminuddin Yaacob berkata, kelima-lima lokasi berkenaan akan dibangunkan dengan kemudahan prasarana yang boleh menarik kedatangan pelancongan dalam dan luar negara.
"Bila ada tarikan baru ramai yang akan berkunjung ke sini, ia akan bantu merancakkan ekonomi penduduk supaya tidak terlalu bergantung pada satu atau dua sumber sahaja.
"Jeli sendiri mempunyai beberapa lokasi menarik yang berpotensi menarik kedatangan pelancong termasuk Gunung Reng dan Kolam Air Panas Batu 10," katanya selepas melawat Pusat Rekreasi Gunung Reng di sini.
Dr Aminuddin yang juga Pengerusi PH Jeli berkata, selain itu, Gunung Stong di Jelawang, Dabong juga antara lokasi yang mempunyai tarikan tersendiri apabila menjadi pilihan pendaki dari dalam dan luar negara.
"Saban tahun kita menyaksikan ribuan pendaki memilih mengunjungi kawasan air terjun tertinggi Asia Tenggara ini, dan jika ia dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dan prasarana pasti lebih ramai tertarik untuk ke sini.
"Walaupun mungkin ada antara kawasan tersebut sudah dibangunkan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun penambahbaikan dari aspek- aspek tertentu masih boleh dipertimbangkan bersesuaian dengan konsep dan persekitaran," katanya.
Ketua Bahagian Bersatu Jeli itu berkata, lokasi dimaksudkan itu meliputi kawasan di bawah tanggungjawab Kesedar dan mempunyai ciri- ciri serta keistimewaan yang jarang ditemui di tempat lain.