DBKL sudah bertemu syarikat penyelenggara lif PPR Kerinchi

Iklan
Nor Hisham bertemu syarikat penyelenggara lif PPR dan PA susulan kejadian lif terhempas di PPR Kerinchi Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan perjumpaan dengan syarikat penyelenggara lif susulan insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Pantai Dalam, Jumaat lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebanyak sembilan syarikat yang terlibat dengan kerja penyelenggaraan lif di 528 PPR dan Perumahan Awam (PA) telah dipanggil semalam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa syor dan cadangan telah dicapai hasil mesyuarat yang diatur bagi mencari penyelesaian terbaik mengelak insiden sama berulang.

"Antaranya, cadangan penggunaan lif tahan lasak atau lif angkat barang pembinaan digunakan di PPR baharu pada masa akan datang.

Iklan

"Juga cadangan menempatkan wakil syarikat menyenggara lif di setiap PPR dan PA bagi memudahkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kerosakan lif," katanya dalam satu kenyataan.

Nor Hisham berkata, DBKL juga akan bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam menjalankan kerja-kerja penyenggaraan lif.

Iklan

"DBKL dan syarikat menyenggara lif perlu mempunyai pekerja pakar dan mahir dalam bidang penyenggaraan lif di samping mengadakan latihan bersama pegawai teknikal.

"Aspek keselamatan pengguna lif di PPR dan PA adalah menjadi keutamaan dan sentiasa berusaha memastikan kemudahan lif sentiasa berkeadaan terbaik dan selamat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan cedera lif jatuh dari tingkat lima PPR Kerinchi

Insiden lif menjunam dari tingkat lima ke aras bawah di Blok C PPR Kerinchi menarik perhatian awam susulan kejadian melibatkan lapan mangsa yang cedera susulan kejadian.

Penduduk maklumkan insiden itu adalah kali ketiga berlaku dalam tempoh kurang sepuluh tahun selain masalah kerosakan lif yang kerap dihadapi mereka bertahun lamanya.

Susulan itu, penduduk meminta agar pihak berwajib mengambil serius isu penyelenggaraan bagi mengelak insiden sama berulang.