10 kerusi jadi taruhan UMNO-Pas Perak

Iklan
Saarani (dua dari kiri) bersama Ahmad Zahid mengiringi Tengku Razaleigh yang hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun hari ini.

BAGAN DATUK - Sebanyak 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak akan menjadi taruhan utama UMNO dan Pas dalam pilihan raya akan datang.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua kerusi itu akan memastikan UMNO dan Pas dapat merampas kembali Perak dengan majoriti dua pertiga, dengan syarat 27 kerusi UMNO serta tiga kerusi Pas kekal dimenangi sama ada dalam Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerusi DUN yang dimaksudkan itu adalah Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Hulu Kinta, Manjoi, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Pasir Panjang dan Tebing Tinggi.

"UMNO dan Pas Perak takkan berpatah balik. Kita akan pastikan kembali menerajui Perak sama ada melalui pilihan raya negeri atau PRU15.

Iklan

"Sekurang-kurangnya mengambil kira kerusi yang dimenangi pada PRU14. 27 kerusi dimenangi UMNO, tiga kerusi dimenangi oleh Pas kalau kekal itu sahaja pun cukup untuk membentuk kerajaan majoriti mudah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun hari ini.

Hadir merasmikan majlis itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan turut hadir, Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Saarani berkata, perkara itu hanya akan direalisasikan jika keikhlasan kerjasama UMNO dan Pas dapat dilaksanakan.

Katanya, UMNO dan Pas perlu sepakat mana-mana kerusi yang ditandingi oleh UMNO, Pas tidak meletakkan calon dan penyokong Pas mengundi calon UMNO begitu juga sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, Saarani meminta ahli UMNO dan Pas supaya memberikan tarbiah kepada anak masing-masing supaya mereka mengundi kedua-dua parti itu apabila sampai umur 18 tahun.

Katanya, melalui tarbiah itu, anak-anak mereka tidak akan terpengaruh dengan doktrin pihak tertentu supaya menolak UMNO dan menyokong mereka.