Remaja maut disyaki dipukul

Iklan
Mohd Ali Tamby

IPOH - Seorang remaja lelaki maut di sebuah hospital swasta di sini awal pagi semalam dipercayai dipukul.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, hospital berkenaan menghubungi polis kira-kira jam 6 pagi yang memaklumkan kematian remaja berusia 18 tahun itu akibat dipukul.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa tinggal di Taman Silibin Ria bersama keluarga bapa saudaranya sejak hampir enam tahun lalu setelah kematian ibu dan bapa mereka.

"Polis kini masih sedang mengenal pasti lokasi kejadian dan suspek terlibat. Mangsa sebelum ini dikatakan tinggal sebilik dengan seorang abang tiri.

Iklan

"Abang mangsa memaklumkan mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal untuk membeli makanan kira-kira jam 11 malam pada 2 Julai lalu.

"Mangsa difahamkan pulang pada jam 2 pagi sebelum mengejutkan abangnya pada jam 4 pagi kerana mengadu sakit dada serta sesak nafas," katanya kepada pemberita hari ini.

Iklan

Mohd Ali berkata, abang mangsa kemudiannya mengejutkan bapa saudaranya dan membawa mangsa ke sebuah klinik kesihatan di sini sebelum dimaklumkan mangsa perlu dirujuk ke hospital dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Hasil bedah siasat dijalankan bahagian forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pagi tadi (semalam), mendapati punca kematian disebabkan kecederaan tisu lembut akibat trauma tumpul pada kedua-dua belah tangan dan kaki serta di kepala.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti tempat kejadian sebenar dan suspek yang terlibat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.