SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) tampil memperbetulkan persepsi pimpinan parti berdasarkan kenyataan dikeluarkan berhubung pemilihan sayap parti itu yang didakwa menggunakan kaedah 'cai'
Naib Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kaedah 'cai' sebagaimana yang pernah dialami oleh kepimpinan Amanah sewaktu bersama Pas merupakan kaedah kempen rahsia yang disusun pihak tertentu bagi mempengaruhi perwakilan dan ia dilengkapkan dengan senarai nama yang tersebar pada hari membuang undi.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Pemuda Amanah ketika ini ternyata berbeza iaitu kempen berpasukan yang diusahakan secara terbuka dengan tanda palang tertentu mewakili kumpulan dan disertakan dengan gagasan idea untuk diteliti perwakilan di setiap peringkat.
"Bahkan kumpulan-kumpulan ini juga sebahagiannya telah menyertakan profil setiap calon yang mahu bertanding lebih awal supaya perwakilan boleh meneliti kredibiliti dan prestasi mereka sebelum membuat keputusan di kotak undi.
"Melalui pemakluman awal, calon yang berhasrat untuk bertanding ditambah gagasan dan idea yang mahu ditawarkan. Kempen yang digerakkan Pemuda Amanah ini sebenarnya lebih telus dan bertanggungjawab.
"Kami tidak menyusun kelompok secara sembunyi-sembunyi, bahkan segala gerak kerja kempen dizahirkan dengan terbuka di media-media sosial. Paling utama garis merah untuk tidak menyerang peribadi sama ada secara langsung atau pun tidak telah pun disepakati bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata, pihaknya memohon agar kepimpinan di setiap peringkat maklum dan jelas dengan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Pemuda Amanah bagi meraikan proses demokrasi dalam parti.
"Secara keseluruhannya, kami memahami kebimbangan yang wujud namun usah dikekang pembaharuan yang mahu dikedepankan ini dengan maklumat tidak benar. Sekali lagi, mohon dibezakan 'cai' dan kempen berpasukan," katanya.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub hari ini menegaskan beliau tidak sekali-kali menyokong sistem 'cai' untuk diguna pakai pada pemilihan Pemuda Amanah ketika ini.
Menurutnya, budaya yang diterapkan Pas itu adalah tidak adil kepada semua ahli dan Amanah pastinya tidak menyokong amalan itu.
Jelasnya, sistem 'cai' yang dipetik pada pemilihan Pemuda Amanah semalam tidak diletakkan dalam konteks yang betul kerana beliau menyarankan parti tidak sekali-kali bersetuju dengan perkara tersebut.