KOTA BHARU - Sepucuk pistol jenis Steyr bersama kelopak berisi 15 butir peluru milik seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan hilang selepas kediamannya di Perumahan Pegawai Kanan Polis di Kemumin di sini dipecah masuk, awal pagi semalam.
Kejadian disedari jam 7 pagi sebaik mangsa yang berusia 38 tahun pulang dari masjid selepas selesai solat Subuh.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa dikatakan keluar ke masjid di Pengkalan Chepa untuk solat Subuh pada jam 5.30 pagi sebelum pulang dua jam kemudian dan mendapati rumahnya berselerak.
"Pemeriksaan di dalam rumah mendapati terdapat kesan umpil di tingkap bahagian dapur dan sebuah beg pinggang yang disimpan di dalam bilik utama didapati hilang.
"Sepucuk pistol jenis Steyr C9-A1 bersama satu kelopak berisi 15 butir peluru, kad pengenalan, kad kuasa, lesen memandu, kad bank dan empat utas jam tangan serta wang tunai berjumlah RM950 yang berada dalam beg berkenaan turut dilarikan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa dikatakan baru pulang dari serbuan di sekitar Kota Bharu pada jam 1.30 pagi dan berehat serta tidur di bilik utama sebelum keluar awal pagi untuk solat di masjid.
"Kedudukan rumah mangsa terletak bersebelahan dengan pagar utama perumahan polis itu dan ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana isteri serta anak mangsa berada di Pasir Mas.
"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui beberapa kesan cap jari dan kerugian dianggarkan berjumlah RM5,000. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.
Menurut Azmi, perumahan itu pernah berlaku kes pecah masuk pada 2018 dan ini kes pertama pada tahun ini.