Kedah tingkat pembangunan lestari bersama universiti, NGO

Iklan
Mukhriz (tengah) bersama Isnaraissah Munirah (dua dari kiri) dan Simon (dua dari kanan) merasmikan Program Minggu Sains Negara 2019 peringkat negeri Kedah di Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah bakal bekerjasama dengan beberapa universiti dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang penyelidikan serta pembangunan bagi tujuan melestarikan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan mereka yang mempunyai kepakaran untuk membantu kerajaan membangunkan negeri tanpa melibatkan pencemaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama itu sangat penting kerana Kedah kaya dengan sumber asli yang perlu dimanfaatkan dengan baik.

"Pembangunan negara yang mampan memerlukan sains dan teknologi, justeru adalah sangat penting untuk sains dan teknologi disepadukan dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran serta masyarakat.

Iklan

"Usaha giat dilakukan bagi memastikan kemajuan dengan menggalakkan penggunaan teknologi yang dikenal pasti memberi pulangan ekonomi yang menguntungkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Sains Negara 2019 peringkat negeri di Riverfront City Sungai Petani hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis dan Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah, Simon Ooi Tze Min.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan menghentikan aktiviti pembalakan di Ulu Muda bagi melindungi sumber air.

"Namun begitu, kerajaan negeri masih memerlukan satu formula yang boleh diguna pakai dalam menguruskan sumber asli yang terdapat di negeri ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga masih lagi dalam perbincangan untuk memikirkan kaedah bagi mengembangkan ekonomi pelancongan tanpa menjejaskan alam sekitar.