NUUK - Sebuah rakaman menggemparkan dari Greenland menunjukkan aliran air deras terhasil daripada pencairan glasier meluncur di bawah sebuah jambatan di Kangerlussiauq selepas 12 bilion tan ais mencair dalam tempoh 24 jam.
Menurut CNN, ais mencair itu bersamaan saiz kira-kira empat juta kolam renang Olimpik.
Kejadian itu didakwa berpunca daripada peningkatan suhu di seluruh dunia pada tahun ini yang mana pada bulan Julai lebih 197 bilion tan ais mencair sepanjang tempoh itu.
Kebiasaannya musim glasier mencair adalah pada akhir Mei sehingga akhir Ogos.
Namun, pada tahun ini ia bermula awal Mei.
Program Perubahan Iklim Copernicus memaklumkan data suhu pada Julai masih dianalisis, dan ia mungkin bulan paling panas dalam sejarah.
Sebelum ini, rekod suhu tertinggi adalah pada Julai 2016.
Keadaan suhu yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dikhuatiri akan menyebabkan lembaran ais Greenland yang merupakan kedua terbesar di dunia kehilangan kira-kira 60 hingga 70 bilion tan ais pada akhir tahun ini.
Difahamkan, pencairan ais di Greenland pada musim ini telah menyumbang kepada kenaikan kira-kira separuh milimeter paras air laut global.
Pada Jumaat lalu, rakaman sama aliran air deras itu yang dirakamkan Laurie Gibbett telah ditonton lebih 3.73 juta kali dan mendapat lebih 53,800 retweet di Twitter. - Agensi