Tulisan jawi bukan asing dalam masyarakat Cina

Iklan
Pok Kiew menunjukkan tulisan jawi yang ditulisnya berbunyi Selamat ulang tahun ke-13 Sinar Harian.

MACHANG - Usaha kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran di sekolah rendah adalah sesuatu yang positif dan mampu meningkatkan daya saing anak-anak Malaysia.

Warga emas, Kang Pok Kiew, 75, berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara meluas dan tulisan jawi sebenarnya bukanlah asing dalam kalangan masyarakat Cina terutama bagi warga emas sepertinya.

Iklan
Iklan

Katanya, dia mula mempelajari tulisan jawi pada usia 6 tahun dan kebolehan tersebut masih kekal meskipun hampir 70 tahun telah berlalu.

Tambahnya, perkara tersebut bukan isu besar malah mampu meningkatkan kebolehan anak-anak muda hari ini sekaligus menjadi nilai tambah kepada mereka.

Iklan

"Ini dapat memperkasakan tulisan jawi yang semakin dilupakan oleh generasi muda. Bukan sahaja bangsa lain tetapi orang Melayu sendiri juga semakin ramai yang tidak mampu membaca dan menulis jawi.

"Soal agama dan kepercayaan masing-masing tidak boleh dicampuradukkan dalam soal ini dan saya lihat hari ini semakin ramai orang Melayu dan India belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan belajar bahasa Mandarin. Ini adalah lambang perpaduan kaum dan kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan yang turut membabitkan pelaksanaan seni khat di dalam buku teks murid tahun empat menjelang tahun hadapan itu mendapat bantahan beberapa pemimpin akar umbi DAP termasuk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Mengulas isu yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan turut menyokong penuh ketegasan kerajaan dalam mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Mohamed Fadzli melalui status Facebook berkata, ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membabitkan isu-isu yang dekat dengan umat Islam dapat dilihat dengan jelas biarpun mendapat tekanan dan tentangan daripada parti kerajaan sendiri khususnya pimpinan DAP.

Katanya, pelajaran seni khat dan tulisan jawi adalah usaha memperkasa dan menanamkan kecintaan terhadap tulisan jawi itu sendiri yang mana tulisan jawi semakin jauh daripada masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya.

"Keputusan ini tepat dan mesti disokong. Bagi umat Islam, tulisan jawi bukan sahaja warisan Melayu dan tradisi bangsa yang mempunyai nilai seni yang tinggi, tetapi ia juga adalah syiar agama.

"Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan ditulis dengan tulisan yang kita panggil jawi ini. Tulisan jawi pernah mengangkat martabat orang Melayu dalam bidang keilmuan suatu masa dahulu," katanya.