Rakyat Malaysia perlu bangga belajar jawi

Iklan
Gambar hiasan.Gambar kecil:Dr Teo Kok Seong (atas) dan Vijayaletchumy

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang mempunyai dua sistem tulisan iaitu rumi dan jawi, maka ia harus menjadi perkara yang dibanggakan rakyat di negara ini untuk dipelajari.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, dengan fakta itu menjadikan tulisan jawi penting untuk dipelajari.

Iklan
Iklan

"Maknanya apa-apa yang kita boleh eja dan tulis dalam jawi boleh juga dieja dengan mudah dan cepat dalam rumi. Itu satu fakta bahasa yang patut kita bangga. Hebatnya, bahasa Inggeris pun hanya satu sistem tulisan.

"Dalam kita menguasai bahasa rumi, kita sepatutnya menguasai tulisan jawi tetapi isunya begitu sengit, jadi kita nak perkenalkan sahaja takkan itu pun nak tolak? Dimana semangat kebangsaan kita? Tulisan jawi itu juga sebahagian identiti nasional kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau mengulas berhubung isu keputusan kekal kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular bermula tahun hadapan yang mendapat bantahan serta pertikaian sesetengah pihak khusus masyarakat bukan Melayu.

Kok Seong berkata, pertikaian yang wujud berpunca daripada kurangnya rasa percaya antara kaum di negara ini dan dengan situasi yang berlaku itu menunjukkan Malaysia gagal dalam proses pembentukan negara bangsa.

Iklan

Katanya, hasrat murni kerajaan untuk mengangkat martabat tulisan jawi tidak wajar dicurigai dan disalah erti oleh kaum lain kononnya sebagai langkah licik untuk memelayukan seterusnya mengislamkan kaum lain.

"Jadi dalam hal ini kita harus waras bahawa Bahasa Melayu ada dua sistem tulisan. Satu rumi satu jawi. Rumi tu rasmi, jawi tu warisan. Jadi dalam kita mengajar dan mempelajari Bahasa Melayu,

tentu kita belajar segala-galanya bersangkutan dengannya dan dalam sistem tulisan, rumi itu sedia ada, tetapi jawi ini perlu juga diketahui bagaimana tulisan itu berfungsi sekurang-kurangnya.

"Yang penting di sini apabila diperkenalkan tulisan jawi melalui satu cara yang seronok iaitu seni khat dan diambil pula bahan simpulan bahasa. Itu semua nak bagi pelajar seronok cara belajar,” katanya.

Tambah beliau lagi, perkara asas yang perlu diingat oleh semua rakyat Malaysia adalah kontrak sosial orang Cina dan India yang bersetuju bahawa simbol Melayu dan proses sosio budaya Melayu diangkat menjadi jati diri negara.

"Sekarang diangkat tulisan jawi itu, kenapa nak tolak kalau dah setuju dalam kontrak sosial ketika merdeka dulu? Mungkin orang muda tak ambil tahu. Jadi kita harus langsaikan bahagian kita, bukan Melayu harus langsaikan kontrak sosial sebab mereka dah setuju ketika untuk mendapatkan kerakyatan dulu.

"Jadi saya berharap agar kerajaan tidak tunduk dengan bantahan yang dibuat kerana ketegasan kerajaan untuk mengekalkan keputusan itu bertepatan dengan manfaat pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Linguistik Terapan, Psikolinguistik Penterjemahan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Vijayaletchumy Subramaniam berkata, masyarakat perlu memahami dengan jelas bahawa tujuan tulisan khat jawi dimasukkan dalam aspek Bahasa Melayu adalah bagi membantu murid menguasai subjek itu sendiri.

Katanya, tulisan khat merupakan aspek seni bahasa yang tidak dinilai sebagai pencapaian murid, namun elemen tatabahasa yang dimasukkan dalam pembelajaran tulisan itu secara tidak langsung menjadi nilai tambah kepada murid.

"Dalam Bahasa Melayu ada lima aspek, kemahiran mendengar, bertutur (dinilai), kemahiran membaca (dinilai), kemahiran menulis (dinilai) yang terdiri daripada dua aspek iaitu tatabahasa (dinilai) dan aspek seni bahasa

"Tulisan khat termasuk dalam aspek seni bahasa dan ia tidak dinilai, tetapi simpulan bahasa merupakan aspek dalam tatabahasa. Jadi apabila murid menulis simpulan bahasa dalam tulisan khat, ia memberi latihan ulangan untuk menguasai pembelajaran yang dinilai itu.

"Ia juga akan diajar dalam situasi pembelajaran, pengajaran secara santai dan didik hibur. Bila konsep tulisan khat ini dia bukan memperkenalkan semua tulisan jawi 37 huruf tu tetapi hanya tujuh huruf dalam tulisan khat. Tujuh huruf ini memainkan peranan menggabungkan atau memasukkan lima simpulan bahasa yang ada dalam darjah empat. Jadi ini secara langsung bantu atau tidak?” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai stigma mengatakan perlaksanaan baharu dalam subjek pendidikan negara itu sebagai usaha ‘memelayukan’ bangsa lain, beliau yang juga salah seorang panel pakar bahasa yang bekerjasama dengan kerajaan dalam perlaksanaan itu berkata, ia adalah tanggapan salah.

"Sebab tulisan khat ini adalah warisan Bahasa Melayu jadi setiap murid di peringkat sekolah rendah kena tahu keunikannya. Kenapa ia dimasukkan dalam jata negara, kenapa tulisan ini dimasukkan dalam jata negeri masing-masing dan kenapa dimasukkan dalam Ringgit Malaysia,” katanya.