DI Melaka, seorang lelaki didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah membuat laporan polis palsu kerana takut dimarahi isteri selepas wang yang diberi wanita berkenaan hilang pada Jun tahun lalu.
Di Kuala Selangor, seorang peragut terpaksa menyerah diri di balai polis dengan alasan ‘takut bini’ tidak lama selepas meragut beg seorang wanita. Kisahnya dia lari meninggalkan motosikal dan motosikal itu dibawa ke balai polis.
Dia lebih rela kena tangkap daripada kena marah dengan isteri sebab motosikal itu milik isterinya! Menyamun dia tak takut tapi dia lagi takut kena marah dengan bini. Cukup-cukup takut.
Bila baca dua kisah ini, Merak Jalanan tak tahu sama ada nak menangis atau nak ketawa.
Seorang rakan bila sembang di kedai mamak, bukan main lagi cakap besar dan ketawa kuat berdekah-dekah. Tapi bila isteri telefon, terus kelam-kabut dan cepat-cepat balik ke rumah.
Bila rakan-rakan sindir dia takut bini, dia jawab"Bukan takut bini, tapi bini yang menakutkan!” Kami pula yang ketawa berdekah-dekah melihat perangai dia.
Ada seorang lagi cukup takut dengan bini. Jangankan bercerita pasal perempuan lain, nak tengok perempuan pun dia tak berani. Dia sanggup tak guna aplikasi WhatsApp semata-mata takut ada profil wanita di telefon bimbit.
Nanti isteri merajuk, seminggu kena tidur luar.Merak Jalanan mengaku, lelaki memang suka cerita bab-bab kahwin lagi. Belakang isteri berdegar-degar dia punya sembang.
Tetapi apabila depan isteri, tak berani pula buka mulut pasal hal ini.
Baru-baru ni Merak Jalanan terima mesej melalui WhatsApp daripada seorang rakan.
Menurut WhatsApp itu, hasil kajian baru-baru ini sungguh mengejutkan. Didapati 100 peratus suami hanya mahukan seorang isteri. Mereka tidak mahu berpoligami!
Rupa-rupanya sepanjang temu bual, responden ditemani oleh isteri masing-masing. Kalau tanpa isteri, hasil kajian tentu berubah!