GEORGETOWN - Polis memberkas seorang tokan dadah bersama dadah bernilai RM1.14 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Permai, Bukit Tengah di Bukit Mertajam pada 31 Julai lalu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan yang dilakukan jam 2.20 petang itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hasil risikan dan intipan mengenai aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan suspek berusia 54 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan di hadapan rumah berkenaan dan pemeriksaan polis menemui 78.6 gram dadah jenis heroin dan peralatan menghisap dadah daripada suspek.
"Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan di tingkat bawah rumahnya menemui 15 bungkus plastik teh Cina mengandungi 15.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM769,120.
"Pemeriksaan di bahagian atas rumah pula menemui 14 peket plastik yang mengandungi 12,650 pil ekstasi bernilai RM379,500 selain peralatan dan mesin memproses dadah," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.
Roslee berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek mempunyai kepakaran dalam memproses dadah dan dia melakukan kerja berkenaan secara solo di rumah yang disewa sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Audi A6 yang digunakan suspek dipercayai dibeli hasil dengan jualan dadah.
"Dadah yang dirampas dipercayai dijual untuk pasaran tempatan dan ia boleh digunakan oleh 89,400 orang penagih dadah.
"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kini direman selama tujuh hari dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Roslee berkata, sepanjang Op Ice Breaker yang dilakukan di negeri ini sejak 29 Julai hingga 4 Ogos pihaknya menahan 580 orang yang terlibat dengan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 48 orang ditahan kerana mengedar dadah, 189 orang memiliki dadah dan 28 individu yang dikehendaki polis.
Tambahnya, sepanjang op berkenaan dijalankan pihaknya merampas 15.6kg dadah jenis syabu, 12,652 pil ekstasi, 281,98 gram heroin, 201 biji eramin 5, 20,950 milileter (ml) air ketum, 10 kilogram daun ketum dan 2,340 ml kodien
"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas sepanjang op ini sebanyak RM1.21 juta dan polis akan memperhebatkan lagi operasi bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkaitan dadah boleh menyalurkan maklumat melalui talian hotline 012-208722 yang beroperasi 24 jam," katanya.