MELAKA - Seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di Jalan Tampoi, Krubong malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa, Mohammad Haziq Hairuzaman, 22, yang memandu kereta jenis Perodua Alza disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah.
Manakala seorang penumpang wanita berusia 39 tahun yang turut berada di dalam kenderaan terbabit cedera pada bahagian muka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hassan Basri berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di kawasan belakang Taman Bukit Cheng.
"Ketika itu terdapat sebuah kereta dalam mencurigakan dan anggota cuba membuat pemeriksaan.
"Namun ketika kenderaan anggota polis sedang menghampiri kereta terbabit mangsa terus mengundurkan kenderaannya dan melarikan diri hingga ke Jalan Krubong, Tampoi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hassan berkata, apabila sampai di tempat kejadian mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi bahu jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya yang cedera di hantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
"Manakala mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.