KOTA KINABALU - Sabah akan menganjurkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri selama dua hari mulai Jumaat ini, bertempat di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, di sini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau berkata sambutan dijangka dihadiri lebih 3,000 orang itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, khususnya pemimpin kerajaan berhubung kewujudan Deklarasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), mengenai Hak-Hak Orang Asal.
Madius berkata deklarasi itu mengandungi 46 artikel, dan Malaysia adalah antara negara anggota PBB terawal mengiktiraf serta menyokong, deklarasi berkenaan.
"Kita (kerajaan Sabah) mahu rakyat sedar mengenai kewujudan 46 artikel itu, selain ia penting untuk kerajaan, dengan harapan deklarasi tersebut akan diserapkan dalam sistem undang-undang, dasar serta program kerajaan.
"Kita akan mengadakan sambutan ini setiap tahun, bukan sahaja untuk memastikan semua deklarasi itu dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi juga bagi menghormati hak-hak orang asal,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Madius selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat Sabah berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang sambutan tersebut, termasuk persembahan kebudayaan serta forum membincangkan isu dan cabaran, berkaitan hak-hak orang asal.
Jabatan Muzium Sabah juga akan mengadakan pameran khas mengenai kesenian, kebudayaan dan pakaian serta makanan tradisi etnik orang asal Sabah, selain turut diserikan dengan gerai pameran daripada etnik menyertai sambutan itu, katanya. - Bernama