Tanaman sawit musnah angkara gajah liar

Iklan
Mohd Rudzi (dua dari kiri) dan beberapa lagi pekebun sawit yang lain sayu melihat pokok kelapa sawit dalam kebunnya yang dimusnahkan gajah liar.

KEMAMAN - Angkara serangan gajah liar, seramai tujuh pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Darat, Air Putih di sini kerugian kira-kira RM100,000 selepas tanaman mereka musnah.

Serangan gajah di kawasan itu dikatakan berlaku sejak Januari lalu dan ia berlarutan sehingga kini mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,000 batang pokok kelapa sawit kesemua pekebun itu dirosakkan.

Iklan
Iklan

Mangsa, Mohd Rudzi Abd Razak, 37, berkata, serangan terbaharu disedarinya berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di kebun sawit yang terletak di belakang rumah abang iparnya.

Katanya, abang iparnya, Selamat Sanusi, 51, terkejut melihat kira-kira 20 batang pokok sawitnya musnah ketika pergi ke belakang rumah untuk menghidupkan enjin pam air.

Iklan

"Lepas tu, saya datang tengok kebun dan memang rasa kecewa sangat-sangat sebab banyak pokok yang dimakan gajah berusia empat tahun dan sudah berbuah.

"Saya juga temui najis gajah itu dalam kebun dan dari kesan tapak kaki yang ditemui, gajah yang masuk mungkin antara tiga hingga lima ekor," katanya.

Iklan
Mohd Rudzi dan Azman melihat kesan tapak kaki gajah.

Lebih menyedihkan, insiden itu adalah serangan kali kedua yang dialaminya melibatkan kebunnya yang berbeza mengakibatkan dia terpaksa menanggung kerugian keseluruhan hampir RM20,000.

Katanya, serangan pertama berlaku dua minggu lalu itu menyebabkan 80 peratus pokok sawitnya di kebun seluas dua hektar musnah.

Sementara itu, Ahmad Azrul Aziz, 26, berkata, gangguan gajah lebih serius sejak awal tahun ini apabila setiap bulan akan ada pekebun yang mengalami kemusnahan pokok sawit.

"Kadang-kadang selang seminggu, binatang ini masuk ke kebun orang kampung.

"Saya pun turut tanggung rugi apabila kebun saya seluas dua hektar yang baharu ditanam 60 anak sawit habis kesemuanya dimakan gajah pada dua minggu lalu dan kelmarin," katanya.

Azman Saras, 47, pula berkata, kerugian yang dialaminya dianggarkan sebanyak RM30,000 setelah 200 pokok sawitnya dimakan gajah.

"Bulan lepas saja, tiga kali kebun saya dimasuki kumpulan gajah liar ini. Letih dan sedih bila lihat hasil titik peluh habis musnah macam tu saja.

"Kehadiran gajah ini turut ancam nyawa pekebun sebab ada antara kami pernah terserempak dengan kawanan gajah liar ini semasa masuk ke dalam kebun," katanya.

Mohd Rudzi memeriksa pokok sawitnya yang rosak ekoran gajah liar memakan umbut dan pucuk pokok berkenaan.

Azman berkata, kawanan gajah itu dipercayai datang dari hutan simpan yang terletak berhampiran kawasan perkampungan mereka.

Berikutan itu, kesemua mangsa meminta agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah dialami mereka.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berhubung aduan penduduk terlibat.

"Kami akan adakan perbincangan di peringkat jabatan untuk mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah gangguan gajah liar yang melibatkan pekebun ini," katanya.