Tergesa-gesa berhenti kerja, rupa-rupanya...

Iklan

SHAH ALAM - Hasrat seorang pekerja untuk berhenti bekerja secara tergesa-gesa Jun lalu membongkarkan kehilangan barangan kemas milik majikannya.

Berikutan itu Kamarularifin Abdul Malik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan melupus sebentuk cincin emas.

Iklan
Iklan

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin turut memerintahkan Kamarularifin, 25, dipenjara lima hari dan didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dua bulan tambahan sekiranya gagal menjelaskannya.

Iklan

Kamarularifin mengaku melupus harta curi milik Nor Syamimi Shahrunozilan dengan menjualnya di kedai emas dengan nilai RM790.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah gerai hadapan Pangsapuri Lili, Taman Bukit Subang, dekat sini antara jam 8 pagi dan 5 petang pada Jun lalu.

Iklan

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin mencadangkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Berdasarkan fakta kes, Nor Syamimi menyedari kehilangan sebentuk cincin, seutas gelang tangan dan sebuah telefon bimbit Iphone setelah memeriksa laci simpanan berikutan tindakan tertuduh menyatakan hasrat untuk berhenti bekerja secara tergesa-gesa.

Tertuduh mengaku telah mencuri barangan tersebut dan menggadaikannya.