Murid akan jadi lebih malas jika mansuh UPSR: iGuru

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Mohd Azizee Hasan

SHAH ALAM - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih relevan dan penting untuk menilai kemampuan serta kebolehan murid.

Presiden Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya tidak bersependapat dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) untuk memansuhkan peperiksaan itu.

Iklan
Iklan

"iGuru kurang bersetuju pemansuhan UPSR sepenuhnya kerana melihat keperluan peperiksaan ini masih penting bagi menilai kemampuan dan kebolehan murid-murid untuk ditempatkan di sekolah-sekolah pilihan dengan ambil kira pengubahsuaian yang sesuai dengan naratif baharu pendidikan.

"Sepatutnya pihak NUTP perlu membentangkan kajian secara akademik supaya cadangan pemansuhan ini memberi impak kepada murid-murid dan apakah solusi jika mansuh UPSR,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Iklan

Mohd Azizee berkata, pihaknya bimbang murid menjadi semakin malas sekiranya ia dimansuhkan tanpa ada alternatif lain.

"Bahkan ia juga menjadikan guru-guru bersikap culas di dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Iklan

Tambahnya, pentaksiran perlu untuk memastikan tiada murid tercicir terutama dari sekolah luar bandar.

"Peperiksaan ini menepati hasrat Penyata Razak yang bertujuan untuk memenuhi keperluan negara pada masa akan datang.

"iGuru menyakini sistem pendidikan di dunia hari ini masih melihat aspek ranking untuk menerima pembelajaran yang berkualiti. Justeru pentaksiran UPSR masih relevan, cuma perlu diolah sesuai dengan naratif baharu Kementerian Pendidikan,” katanya.

Semalam, NUTP memohon supaya Kementerian Pendidikan memansuhkan segera UPSR selari dengan usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Setiausahanya, Harry Tan Huat Hock berkata, pihaknya berpendapat peperiksaan itu bukan lagi keperluan sekiranya murid terpaksa menanggung beban untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Katanya, pemansuhan UPSR juga dilihat dapat mengurangkan tekanan dan beban murid, selain dapat mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan keputusan A adalah kayu pengukur kualiti seseorang murid.

ARTIKEL BERKAITAN: NUTP mohon UPSR dimansuhkan