Herv Natural perkenal produk 'less make up, senang solat'

Iklan
Hera berharap Herv Natural dapat melebarkan sayap hingga ke luar negara.
DEMI merealisasikan impian arwah ibu, Linda Helmi, seorang usahawan sedang mencipta nama sanggup melakukan apa sahaja. Sebagai tambah nilai, Nurul Taherah Helmi Raflah atau mahu dikenali sebagai Hera Helmi mahu melakukan kelainan agar wanita Malaysia mendapat 1,001 manfaat daripada inisiatifnya.

"Saya bukan hanya mahu mengeluarkan produk tetapi pada masa sama, mahu mendidik wanita tentang cara-cara untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat, bukan sekadar berusaha untuk mendapatkan kulit yang putih," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Femina Sabtu minggu lalu.

Membawakan slogan 'less make up, senang solat' untuk produknya Herv Natural, Hera berkata, ia bukan satu frasa perkataan semata-mata. Sebaliknya, mahu mengaitkan solekan tebal dan tanggungjawab menunaikan solat.

Iklan
Iklan

Nampaknya, Herv Natural merupakan satu-satunya jenama yang bukan melihat kehendak keduniaan semata-mata bahkan juga akhirat.

Kepada wartawan Femina, Nor Azihan Md Ghazali, Hera menceritakan bagaimana beliau mula merintis jenama kecantikan itu, kelebihan dan cabaran-cabaran yang direntasnya.

Iklan

1) Boleh kongsi dengan kami bagaimana penglibatan awal puan dalam perniagaan berasaskan produk penjagaan kulit wajah Herv Natural?

Sebenarnya, sebelum ini saya merupakan jurusolek artis. Namun saya mempunyai matlamat yang jelas dalam menghasilkan produk penjagaan kulit, Herv Natural. Melalui produk tersebut, saya mahu melihat lebih ramai wanita memiliki kulit yang sihat, jadi mereka tidak perlu lagi mengenakan solekan yang tebal bagi menutup bahagian kulit yang bermasalah. Apabila tidak pakai alat solek, ia juga memudahkan kaum wanita untuk menunaikan solat.

Iklan

Wujud kepincangan apabila ada dalam kalangan wanita yang gemar bersolek, namun memandang enteng berkenaan tanggungjawab menunaikan solat. Secara jujurnya, wanita yang bersolek tebal apabila keluar rumah, dia akan culas untuk menunaikan solat. Contohnya, bila kita pergi ke pasar raya, mesti terfikir untuk tunda solat dengan harapan akan solat di rumah nanti. Itu kalau balik awal, kalau balik lambat, bagaimana? Hanya kerana solekan, kita selalu memandang remeh-temeh dan tidak menitikberatkan berkenaan perkara penting itu.

2) Nampaknya puan mengambil inspirasi nama pena puan Hera untuk nama produk sendiri. Bagaimana ia boleh tercetus?

Benar, nama Herv diinspirasikan daripada nama saya sendiri iaitu Hera, namun saya cuba memberi kelainan dengan menukar huruf a kepada v. Saya cuba menukar ejaan itu sebagai langkah mengkomersialkan jenama yang saya bangunkan. Berkenaan nama natural pula, ia merujuk kepada erti semula jadi. Saya memilih perkataan itu memandangkan bahan yang terkandung dalam produk berkenaan adalah berasaskan buah-buahan dan bunga-bungaan.

Herv Natural terdiri daripada empat produk penjagaan iaitu Brightening Oil Cleanser, Deep Glow Exfoliator, Soo The Hydra Cleanser dan Luxe Essence Advance.

3) Jenama Herv Natural semakin dikenali. Apakah produk-produk yang dihasilkan dan bagaimana cara penggunaannya?

Kami menghasilkan empat produk iaitu Brightening Oil Cleanser (berasaskan buah oren), Deep Glow Exfoliator (buah pic), Soothe Hydra Cleanser (strawberi) dan Luxe Essence Advance (bunga ros). Produk Herv Natural 70 peratus berasaskan bahan-bahan semula jadi. Ya, ia belum mencapai tahap organik sepenuhnya namun, ia selamat digunakan.Kesemua produk juga mempunyai saiz kecil dan besar. Berkenaan dengan penggunaannya pula, produk Brightening Oil Cleanser ialah produk pertama yang perlu dipakai dalam rutin penjagaan wajah.

Ramai wanita tak faham dan tertanya-tanya apa itu oil cleanser? Mereka sebenarnya lebih cenderung untuk memilih pencuci muka biasa, krim malam dan krim siang. Sebenarnya, dalam rutin penjagaan wajah, krim malam dan siang memang tak wujud. Produk Brightening Oil Cleanser ialah pencuci muka yang digunakan pada permulaan kita membersihkan wajah. Ia dicipta untuk semua jenis kulit termasuk kombinasi, berminyak dan normal. Produk berkenaan berfungsi menarik minyak, kulit muka kita banyak menghasilkan minyak. Pada masa sama, kulit menghasilkan sebum. Jadi, untuk menarik sebum kita perlukan minyak.

Keduanya, kalau kita mengenakan solekan, kita kena singkirkannya dengan pencuci jenis minyak. Ketiga, ia bertujuan untuk membuang daki. Soothe Hydra Cleanser pula ialah pembersih muka tanpa buih. Pencuci muka yang berbuih tidak bagus untuk kulit. Ia akan mengeringkan kulit. Apabila kulit kering, wajah akan nampak lebih berusia. Produk ketiga iaitu Luxe Essence Advance yang berfungsi untuk menghidrasikan kulit. Ia biasanya dipakai sebelum mengenakan pelembap. Essence kami berasaskan air, ia akan menyerap ke dalam kulit lapisan kulit wajah.

Peranan Deep Glow Exfoliator pula berfungsi untuk membuang sel-sel kulit mati. Biasanya selepas seminggu, kulit wajah akan bertukar baharu. Jika kita tidak buang lapisan atas, kulit baharu akan nampak kusam. Bila pakai serum pun, ia langsung tidak menyerap. Kenapa jadi begitu? Sebab kita tak buang sel kulit mati. Kena buang dahulu baru boleh menyerap serum. Cara yang salah menyebabkan ramai yang memakai produk mengadu ia tidak berkesan.

4) Apakah kelebihan produk Herv Natural?

Terlebih dahulu, ingin saya tegaskan, produk Herv Natural bukan produk pemutihan. Produk saya lebih kepada penjagaan wajah secara semula jadi. Jika mahu kulit sihat dan segar, boleh pakai produk Herv Natural. Untuk lebih keberkesanan, wajib gunakan keempat-empat produk. Kalau culas tentang penjagaan asas, bagaimana nak dapatkan kulit wajah yang sihat dan cantik? Berbeza dengan produk-produk lain di luar sana yang mementingkan pemutihan bukan kesihatan kulit wajah. Pelanggan dijanjikan wajah yang putih kurang seminggu. Buat apa kulit wajah yang putih, namun tidak sihat seperti berjerawat dan mengalami iritasi. Ingat, kita bukan produk pemutihan, wanita berkulit gelap atau cerah boleh menggunakan produk Herv Natural. Ia membaiki kulit wajah yang bermasalah dari dalam.

5) Siapakah yang memberi inspirasi kepada Puan dalam bisnes ini?

Sebenarnya, inspirasi bisnes ini bermula daripada arwah ibu yang juga pelakon, Linda Helmi. Beliau benar-benar mahu melihat saya berjaya dalam perniagaan dan mempunyai produk sendiri. Produk ini wujud kerana arwah. Saya akui, arwah juga seorang yang aktif menjalankan perniagaan ketika hayatnya, beliau juga kerap bertemu orang ramai dan mengenakan solekan. Beliau akhirnya dijemput ILLAHI tiga tahun lalu ketika usianya 55 tahun. Saat arwah dikafankan, saya lihat wajahnya cantik, suci dan bersih tanpa mekap. Jadi, saya terfikir tanpa solekan sebenarnya wajah kita lebih cantik. Alangkah indahnya bila kita datang ke dunia dan kembali kepada Tuhan tanpa solekan. Kenapa kita mahu menyusahkan hidup kita dengan bersolek yang mengambil masa yang lama? Justeru, saya wujudkan Herv Natural.

Produk yang dihasilkannya adalah berasaskan buah-buahan dan bunga-bungaan.

6) Setiap cabang perniagaan pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran meskipun perniagaan puan baru setahun jagung. Apa cabaran besar yang pernah puan alami?

Cabaran paling besar saya hadapi ialah bagaimana saya hendak menukar persepsi rakyat Malaysia yang sentiasa melihat dan memilih produk pemutihan dan pencerahan. Bagi mereka, kulit yang cerah seawal tiga hari lebih penting berbanding mendapatkan kulit wajah yang sihat. Bila kita cuba ketengahkan produk Herv Natural untuk membantu masalah kulit wajah, penerimaannya agak sukar. Keduanya, produk tersebut membawa satu imej 'less make up, senang solat', bila kita nak menegakkan slogan itu, memang susah.

Kenapa? Sebab teman rapat wanita ialah solekan. Saya berperanan membantu wanita di luar sana memakai dan menikmati kulit wajah yang sihat dan cantik. Jadi, tidak perlu lagi mengenakan solekan yang tebal. Alhamdulillah, selepas setahun penerimaannya sangat positif, mereka semakin sedar. Bila kulit sihat, keyakinan juga akan bertambah. Jadi, para wanita tidak perlu lagi mengambil masa hingga 20 ke 30 minit untuk bersolek. Cukup oleskan wajah dengan krim pelindung matahari dan gincu sebelum keluar rumah. Hanya dua minit sudah cukup.

7) Biasanya dalam perniagaan terdapat sumber kekuatan yang tidak akan putus-putus memberi semangat untuk terus berjaya. Puan, bagaimana?

Sumber kekuatan saya tidak lain dan tidak bukan ialah suami, anak-anak, bapa dan adik beradik saya. Mereka sumber kekuatan saya pada ketika ini. Saya beruntung kerana perniagaan ini dibangunkan dan digerakkan bersama suami. Stigma mengatakan bahawa bekerja dengan suami agak susah, bagi saya ia tidak benar sama sekali. Apabila kami bekerjasama di bawah satu bumbung, ia memudahkan banyak perkara. Dalam bab pengurusan syarikat Herv Natural, beliau bertanggungjawab untuk menguruskan operasi syarikat manakala saya lebih kepada mengukuhkan jenama produk dan bertemu orang ramai.

8) Akhir bicara, apa harapan puan terhadap jenama Herv Natural pada masa akan datang?

Setakat ini, stokis yang kita ada mencecah 50 manakala ejen pula lebih 3,000 di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Kita mempunyai perancangan untuk menambah jumlah stokis dan juga ejen malah merancang untuk melebarkan sayap hingga ke Indonesia, Brunei dan Dubai. Saya mahu kukuhkan misi dan slogan kita 'less make up, senang solat' ke seluruh dunia. Saya mahu seluruh umat Islam yang menggunakan produk tersebut faham apa yang kita cuba sampaikan. Saya berharap jenama yang saya bangunkan ini akan kukuh dan dapat bersaing secara sihat dengan jenama-jenama lain di pasaran.

ANEKDOT


PROFIL Hera Helmi

Nama penuh : Nurul Taherah Helmi Raflah

Bilangan adik-beradik: Anak sulung daripada tiga beradik

Asal : Kuala Kangsar, Perak

Status : Berkahwin

Bilangan anak: Empat (berusia enam bulan hingga tujuh tahun)

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Kuala Kangsar, Perak.

Pengalaman : Jurusolek artis dan model jenama, Sendayu Tinggi

Tahun mulakan bisnes: 2018

Jenis produk: Set penjagaan wajah

INFO Herv Natural

Terdapat empat produk :

1) Brightening Oil Cleanser

2) Deep Glow Exfoliator

3) Soothe Hydra Cleanser

4) Luxe Essence Advance

Harga : RM35 hingga RM79 setiap produk

Kombo : Brightening Oil Cleanser + Deep Glow Exfoliator (RM145)