Geng curi komponen motosikal berkuasa tinggi ditahan

Iklan
Antara komponen motosikal berkuasa tinggi yang dirampas daripada suspek.

PULAU PINANG - Tiga lelaki ditahan dalam beberapa serbuan dijalankan di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam pada Sabtu serta Ahad lalu kerana dipercayai terlibat dengan kes curi yang menyasarkan motosikal berkuasa tinggi yang datang berkonvoi ke negeri ini bagi mencuri aksesori dan komponen motosikal.

Mereka didakwa melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan menjual komponen dicuri dengan harga jauh lebih murah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada seorang penunggang warganegara Thailand yang mendapati pelbagai komponen motosikalnya hilang ketika diletakkan di sebuah hotel di Jalan Macallum pada Sabtu lalu.

Menurutnya, pengadu bersama beberapa lagi rakan penunggang singgah di negeri ini selepas berkonvoi dari ibu kota, sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand.

Iklan

"Dalam kejadian itu, suspek mencuri tiga unit angkup brek, dua pam brek, sebuah topi keledar jenama BMW, dua set kotak peralatan dan alat pengecas motosikal dianggarkan berjumlah RM40,000.

"Susulan laporan itu, kita berjaya menjejaki dan menahan semua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu serta merampas semula barang dicuri mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Iklan

Che Zaimani berkata, siasatan mendapati dua daripada suspek yang ditahan bertindak sebagai pencuri, manakala seorang lagi merupakan 'mastermind' bagi mengatur rancangan dan menjual barang curi terbabit.

Tambahnya, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk mencuri komponen motosikal, malah pemeriksaan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek berusia 23 hingga 31 tahun direman untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya tiga suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi komponen motosikal berkuasa tinggi yang dilaporkan berlaku di sini sebelum ini," katanya.