KUALA SELANGOR - Semua 28 individu direman selama lima hari bagi membantu siasatan polis berhubung rusuhan bersenjata di Kuil Kaliamman Bestari Jaya, Sungai Darah di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek direman mulai hari ini hingga 9 Ogos depan.
"Mahkamah Majistret Kuala Selangor telah membenarkan permohonan reman ke atas 28 suspek itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua suspek ditahan polis di sekitar Kuala Selangor dan polis turut merampas lima bilah senjata tajam.
Dalam kejadian rusuhan malam tadi, seorang anggota polis cedera dan orang awam putus sebahagian tapak tangan kiri.
Sebelum rusuhan berlaku, satu perarakan Chariot (pedati berhias) diadakan di Kuil Kaliamma Bestari Jaya, Sungai Darah di sini.
Namun berlaku pertengkaran antara dua kumpulan dalam kalangan mereka dengan bersenjatakan parang dipercayai berpunca daripada pergaduhan geng akibat tidak berpuas hati berkaitan pemasangan khemah.
ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan Kuil Kaliamma: 28 ditahan, lagi suspek diburu