Keputusan Najib, empat lagi batal saman diketahui Oktober depan

Iklan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan pekarangan Mahkamah Rayuan,Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 23 Oktober untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan empat yang lain bagi membatalkan saman difailkan ahli perniagaan, J.R Deepak Jaikishan dan adiknya berhubung dakwaan wujud konspirasi hingga menyebabkan dua beradik itu serta syarikat mereka, Radiant Splendour Sdn Bhd mengalami kerugian.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Deepak Jaikishan, 47, pengarah syarikat Radiant Splendour Sdn Bhd, J. Rajesh, 46, serta syarikat berkenaan memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pendengaran permohonan kelima-lima individu berkenaan untuk membatalkan saman anak guamnya di dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar.

Iklan
Iklan

Kelima-lima individu itu ialah bekas perdana menteri itu dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, peguam Datuk Ahmad Johari Abdul Razak, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (ketika itu Pengerusi Tabung Haji) dan Tan Sri Shukry Mohd Salleh (ketika itu Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad) sebagai defendan pertama hingga kelima.

Mohamed Haniff berkata, permohonan untuk membatalkan saman difailkan atas alasan tuntutan saman ketika-tiga anak guamnya tidak lengkap, tidak jelas atau tidak dapat dibuktikan.

Iklan

"Bagaimanapun, pihak kami telah meminta mahkamah meneliti tuntutan saman secara keseluruhan kerana kes itu tidak dapat dilihat melalui satu atau dua petikan berasingan sebaliknya perlu dilihat dari perenggan satu sampai akhir supaya mana-mana pihak jelas mengenai tuntutan tersebut," katanya.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 12 September tahun lepas, kesemua plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka terutama kepada plaintif kedua iaitu Deepak.

Iklan

Deepak mendakwa ia bagi menghalangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu membabitkan Najib, Rosmah dan Ahmad Johari.

Plaintif juga mendakwa terdapat perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry, yang bersetuju memberikan dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan mereka perlu menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B.

Dakwa plaintif kesemua defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang dalam mencapai perjanjian penyelesaian tersebut.

Plaintif juga mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka, dan memohon setiap defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan. - Bernama