PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan hampir 200 Ketua Cabang PKR menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan juga Perdana Menteri kelapan sebagai lumrah dalam politik.
Menurutnya, tindakan itu diambil atas pilihan ketua-ketua cabang itu sendiri yang mahu menzahirkan sokongan terhadap presidennya.
"Ada sejumlah ketua-ketua cabang nak menyatakan sokongan kepada presiden di mana ia sekadar penyataan sokongan. Tak apa itu lumrah dalam politik.
ARTIKEL BERKAITAN: 198 ketua cabang sokong Anwar jadi PM kelapan
"Ada orang nak sokong, ada yang tak sokong. Bentuk sokongan itu ada yang diam dan ada yang dizahirkan. Jadi pilihan ketua-ketua cabang itu untuk menzahirkan,” katanya pada sidang media Program Sesi Dialog Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini.
Semalam, lebih 90 peratus Ketua Cabang PKR atau 198 daripada 219 cabang berdaftar menegaskan hanya mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.
Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, sokongan daripada majoriti ini menepis persepsi dan tanggapan bahawa PKR sedang bergolak dan berpecah.
Pada masa sama, beliau berpendapat langkah itu tidak akan memberikan sebarang masalah apatah lagi PKR adalah parti demokrasi.
"Saya ingat tak apalah kita biarlah proses itu, lagi pun bukanlah menjejaskan ekonomi negara. Jadi saya ingat ketua-ketua cabang ini, mereka ada pilihan sendiri.
"PKR parti yang demokratik dan amalkan reformasi lagi. Jadi saya tak nak pandang rendah ‘the wisdom of’ ketua-ketua cabang itu,” katanya.