'Pameran Raja Kita' pertama ketika pertabalan Ayahanda Sultan Abdullah

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat set peralatan sukan polo baginda yang dipamerkan pada Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Muzium Diraja hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR - Pameran Raja Kita yang padat dengan maklumat, sejarah dan peranan Institusi Yang di-Pertuan Agong cukup signifikan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana ia pertama kali diadakan ketika Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kira-kira 39 tahun lepas pameran itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Almarhum Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad yang merupakan bonda Sultan Abdullah.

Iklan
Iklan

"Idea untuk mengadakan Pameran Raja Kita ini tercetus ketika kerajaan merancang untuk melaksanakan Istiadat Pertabalan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7.

"Hari ini giliran Seri Paduka Baginda Tuanku pula merasmikan Pameran Raja Kita,” katanya pada majlis perasmian Pameran Raja Kita yang disempurnakan oleh Sultan Abdullah di Muzium Diraja, Jalan Istana di sini.

Iklan

Turut berangkat pada majlis itu yang bertempat di Istana Negara lama ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebelum ini, Pameran Raja Kita telah diadakan di Muzium Negara.

Iklan

Ini merupakan yang ketiga pameran itu berlangsung di Muzium Diraja yang merupakan Istana Negara Lama selepas pertama kali dianjurkan sempena pertabalan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2011.

Mohamaddin berkata lebih 150 artifak dan koleksi dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Istana Pahang, Perbadanan Muzium Pahang, Arkib Negara dan Jabatan Muzium Malaysia dipamerkan mulai hari ini hingga 5 Nov.

Pelbagai aktiviti pendidikan seperti Bicara@Muzium, Bicara Galeri serta bengkel yang berkaitan institusi diraja turut akan diadakan sepanjang tiga bulan pameran itu berlangsung. -Bernama