SHAH ALAM -"ALLAH bagi rezeki ini untuk mengubati hati kami yang pernah diuji dan ganjaran ini merupakan ganjaran yang begitu besar."
Demikian kongsi Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48, isteri kepada Nazril Hisham Omar, 49, mangsa serangan pengganas di Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand yang mendapat tajaan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud untuk menunaikan ibadah haji di bawah program tetamu Raja Saudi 2019.
Zurinawati berkata, beliau dan suami tidak menyangka menjadi tetamu ALLAH selepas berdepan dengan episod hitam yang hampir meragut nyawa insan tersayang dalam serangan ketika solat Jumaat, 15 Mac lalu.
"Sewaktu mendapat perkhabaran mengatakan Raja Arab Saudi akan menaja, saya tidak ambil serius. Bila dapat borang kami lengkapkan. Waktu itu masih tidak percaya.
"Selepas tempoh sebulan, visa diluluskan, perasaan saya dan suami tidak terkata. Kami bersyukur mendapat peluang menjadi tetamu ALLAH bagi menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya yang berada di Makkah ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, beliau dan suami baru selesai mengerjakan umrah selepas tiba di Tanah Haram pada Sabtu lalu.
"Panggilan haji ini merupakan panggilan teragung buat kami. Pada saya, ia juga merupakan hadiah ulang tahun perkahwinan pada 30 Julai lalu,” katanya.
Zurinawati dan suami adalah antara 200 keluarga mangsa kejadian itu yang ditaja oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud untuk menunaikan ibadah haji di bawah program tetamu Raja Saudi 2019.
Seorang lagi mangsa serangan itu, Mohd Tarmizi Shuib, 42, bersama isteri, Dr Marina Zahari dan anak lelaki mereka berusia 12 tahun, Muhammad Hariz turut sama mendapat peluang menunaikan ibadah haji.
Dalam kejadian itu, anak Mohd Tarmizi, Muhammad Haziq, 17, antara 50 mangsa yang terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai itu.
"Seperti ada hikmahnya. Setelah apa yang kami lalui... kami sentiasa berdoa kepada ALLAH agar kami sentiasa diberikan kekuatan dan petunjuk. Kami tidak menyangka kurniaan ini menjadi tetamu-Nya ke tanah suci (mengerjakan haji).
"Kami tidak pernah mengharapkan kurniaan ini diberikan kepada kami untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini. Ia sukar dipercayai selepas beberapa bulan masa sukar yang telah kami alami sejak kejadian tragis itu. Ini adalah ganjaran yang besar daripada ALLAH kerana kami sekeluarga menjadi tetamu-Nya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di program tersebut di sini semalam.
Program tahunan itu adalah anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi serta dibiayai secara peribadi oleh Raja Salman.
Pembiayaan itu termasuk tempat tinggal para jemaah, tiket pesawat, makan minum dan perbelanjaan bagi mengerjakan haji.
Program yang dijalankan sejak lebih dari 20 tahun itu bertujuan mengumpulkan jemaah haji agar mereka dapat bertukar pandangan mengenai Islam dan mengukuhkan hubungan sesama umat.
Seramai 1,300 jemaah haji dari 72 negara terpilih menyertai program itu pada musim haji tahun ini termasuk 20 orang dari Malaysia.
Arab Saudi merancang untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.