Sambutan Hari Peladang, Penternak, Nelayan bawa visi, misi kerajaan

Iklan
Salahuddin melakukan tinjauan semasa lawatan ke projek pilot padi pulut PPK Langkawi. Gambar kecil: Mazlan

TARIKH keramat 6 Ogos setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada majlis pelancaran penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 13 Ogos 1973.

Pengiktirafan ini telah disuarakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang meminta agar sumbangan peladang kepada negara dihargai dengan memperuntukkan satu hari khusus untuk tujuan ini iaitu Hari Peladang.

Iklan
Iklan

Permintaan ini telah diajukan pada majlis Gerakan Pembaharuan yang berlangsung di Dungun, Terengganu pada 6 Ogos 1972. Sambutan Hari Peladang dilihat sangat penting dalam konteks pertanian negara kerana ia menggambarkan penghargaan kerajaan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan dalam memastikan proses transformasi sektor pertanian negara sentiasa mengambil kira pembabitan golongan sasar ini.

Bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Mazlan Aliman dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Azulita Salim membawa visi dan misi kerajaan terhadap golongan peladang, penternak dan nelayan.

Iklan

Apakah peranan kerajaan bagi memperingati dan mengenang jasa warga peladang, penternak dan nelayan?

MAZLAN: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan setiap tahun adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada warga peladang, penternak dan nelayan seluruh negara. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap usaha dan jerih payah mereka yang berusaha mengeluarkan bahan makanan dan memajukan sektor pertanian negara kita. Hari Peladang, Penternak dan Nelayan telah kita sambut sebanyak 44 kali. Harapan kerajaan agar berlakunya satu reformasi dalam sektor pertanian dan industri asas tani supaya dikomersialkan dan menjadi sumber pendapatan utama kepada rakyat sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

Iklan

Kerajaan ingin melihat aktiviti pertanian moden yang diusahakan rakyat secara bersepadu dan bersama mampu menjana ekonomi. Dari tahun ke tahun, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) melalui LPP terus bergerak ke hadapan menjadi sektor yang lebih dinamik, inovatif, kompetitif dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan industri pertanian yang lestari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi serta memberi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pada hari ini, kita buat sambutan di tempat yang indah ini sebagai pencetus kepada sambutan yang dibuat di peringkat kawasan dan peringkat negeri dan akhirnya sambutan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 akan dibuat pada akhir bulan November ini di Johor.

Apakah pengisian serta objektif utama penganjurannya?

AZULITA: LPP akan menganjurkan Perhimpunan Warga Tani Daerah Rembau Sempena Memperingati 6 Ogos Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan & Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani pada 6 Ogos bermula jam 9 pagi hingga 6 petang bertempat di Dewan Agora, Rembau, Negeri Sembilan. Pemilihan kawasan ini sebenarnya sinonim dengan ramainya para petani yang berada di kawasan ini dan akan dirasmikan oleh Menteri, Datuk Salahuddin Ayub.

Program ini sebagai satu platform memantapkan sinergi dan kerjasama jabatan/agensi kerajaan dalam memberi perkhidmatan untuk memenuhi keperluan golongan peladang dan orang ramai. Di sinilah tempatnya isu dan masalah didengari untuk membantu golongan sasar ini. Penganjuran program ini juga adalah sebagai pendekatan holistik kementerian dan LPP sendiri yang menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus, dan cekap bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan.

Bagaimana meremajakan sektor pertanian kepada warga belia?

MAZLAN: Sektor Pertanian telah berjaya menarik golongan muda. Ini seiring dengan tujuan utama Hari Peladang iaitu untuk meningkatkan perdagangan, meningkatkan penglibatan golongan muda serta memberi kefahaman terhadap bidang pertanian kepada orang ramai. Sehubungan itu MOA telah mewujudkan Program Agropreneur Muda. Pendekatan program ini untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan berasaskan aktiviti dan industri pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agro pelancongan.

Tujuan program ini untuk mengubah persepsi golongan belia terhadap sektor pertanian sebagai industri yang berdaya maju. Meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.

Pelaksanaan pembangunan usahawan agropreneur muda di dalam sektor pertanian akan menarik minat lebih ramai golongan muda sebagai pelapis supaya industri agromakanan negara berdaya maju. Program ini dijangka mampu meningkatkan pendapatan pengusaha khususnya golongan belia melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti dan harga pasaran yang tinggi. Pelaksanaan projek ini akan menyokong usaha kerajaan untuk memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, menepati kehendak pasaran, berkualiti dan selamat dimakan.

Golongan muda merupakan generasi baru yang akan menjadi harapan negara di masa akan datang agar sektor pertanian tetap menjadi sektor pilihan yang boleh menjana pendapatan tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimana LPP memperkasakan peranan wanita?

AZULITA: Wanita merupakan aset penting kepada negara. LPP akan memastikan semua wanita mendapat peluang, pengetahuan dan pendedahan supaya mampu bergerak seiring dengan arus perubahan negara melalui pergerakan PeladangNita Kebangsaan. LPP menyambut baik dasar ini dan akan terus memperkasakan wanita dalam pertanian. Pergerakan Pertubuhan Peladang telah mengangkat peranan wanita dengan menambah baik dasar Pertubuhan Peladang dengan menjadikan wanita sebagai ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat pergerakan Pertubuhan Peladang di seluruh Negara.

Peranan wanita telah diangkat untuk bersama-sama memajukan pergerakan Pertubuhan Peladang dan LPP komited memberikan peluang dalam bidang ini sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh memberi pendapatan tinggi dan membantu wanita agar mempunyai keupayaan diri sendiri dalam soal kewangan dan ekonomi diri mereka.

Kumpulan Peladangnita di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang melalui pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) merupakan satu kegiatan wanita. Ia merupakan satu kumpulan bagi memudahkan pelaksanaan dan menggiatkan penyertaan dari kalangan ahli wanita Pertubuhan Peladang. Melalui penglibatan wanita dalam bidang pertanian, pihak kementerian melalui LPP dapat memenuhi aspirasi untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat serta mengintegrasikan kaum wanita di semua sektor bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Boleh jelaskan mengenai program My Green Team dalam Pergerakan Pertubuhan Peladang?

MAZLAN: Seperti yang dimaklumkan My Green Team ini adalah penjenamaan Projek Kelab Pertanian Sekolah iaitu program kerjasama LPP dengan Kementerian Pendidikan. Program ini adalah baik kerana kita dapat memperkenalkan industri pertanian kepada komuniti seawal sekolah lagi. Sehubungan itu adalah tepat pelancaran diadakan di kawasan sekolah. LPP memulakan Projek Kelab Pertanian Sekolah ini pada tahun 2016, bermula dengan 50 buah sekolah yang telah dipilih di peringkat fasa pertama dan kedua. Tambahan 20 buah sekolah lagi dilaksanakan di peringkat fasa ketiga. Objektif program ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran generasi muda terutama di peringkat sekolah akan potensi dan kepentingan sektor pertanian kepada negara.

Ia juga memupuk minat di bidang pertanian di peringkat sekolah serta melahirkan kumpulan pelapis kepada sektor pertanian dan meningkatkan penyertaan golongan muda kepada pergerakan pertubuhan peladang.

Fokus program ini adalah dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang akhirnya dapat menceburkan diri dalam bidang usahawan tani. Keutamaan adalah kepada sekolah yang mempunyai kurikulum pendidikan pertanian dan sekolah yang berminat untuk mewujudkan kelab ini.

Hasil daripada program ini akan dapat memupuk minat guru, murid dan ibu bapa untuk menjalankan aktiviti pertanian. Ia juga dapat memberi pulangan kepada Kelab Pertanian Sekolah melalui jualan hasil tanaman. Selain mampu merapatkan hubungan di antara pihak sekolah dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), ia dapat merealisasikan Program Meremajakan Pertubuhan Peladang (PP).

Padi Pulut Langkawi menjadi sebutan baru-baru ini, bagaimana LPP melihat perkara ini?

AZULITA: Kawasan tanaman padi di Langkawi adalah seluas 2,711 hektar dengan sesetengah kawasan berupaya diusahakan dua kali setahun dengan anggaran pengeluaran hasil padi berjumlah 10,000 m/tan setahun. Kawasan di sini berpotensi untuk dimajukan dengan pelbagai jenis tanaman dek kerana tanahnya yang subur. YAB Perdana Menteri menyatakan hasrat mahu melihat pulau itu menjadi pengeluar beras pulut terbesar negara.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beberapa kawasan telah dikenal pasti akan dimajukan dengan tanaman padi pulut. Usaha ini dijangka dapat mengurangkan import padi dari negara Thailand dan Vietnam dan seterusnya meningkatkan tahap ekonomi penduduk di Langkawi ini. Sekali gus akan menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Langkawi.

Projek perintis dicadangkan dilaksanakan selama 3 tahun iaitu sehingga tahun 2022. Projek Pembangunan Penanaman Padi Pulut ini meliputi Pembangunan Ladang Benih, Pembangunan Tapak Semaian dan Pembangunan Penanaman Padi Pulut Secara Pengurusan Mini Estet. Projek ini akan di laksanakan oleh LPP melalui PPK Langkawi secara pengurusan mini estet padi manakala Mardi dan Jabatan Pertanian akan menyediakan benih padi pulut tersebut. Benih padi pulut yang sah adalah penting bagi memastikan hasil yang dikeluarkan adalah tinggi.

Keupayaan PPK Langkawi melaksanakan projek ini mengambil kira pengalaman PPK mengusahakan 1,257 hektar projek mini estet padi iaitu PPK sebagai agen pengurusan sehingga dikumpulkan di Pusat Pengumpulan untuk dihantar ke kilang. Selain itu, PPK juga menguruskan keperluan traktor dan jentuai untuk membajak dan menuai hasil melalui PPN (Jentera) Kedah dan tuaian pertama dijangka dalam pertengahan November ini.

Boleh kongsi bagaimana pelaksanaan program dwi tahunan pada tahun ini?

MAZLAN: Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan diadakan sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan itu dalam pembangunan industri pertanian negara. Pelaksanaan HPPNK 2019 bakal diadakan sekitar bulan November di Plaza Angsana, Johor Bharu. HPPNK pada kali ini melibatkan Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama MOA, manakala LPP dilantik sebagai pelaksana program dan majlis ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Pada perancangan awal, program ini dicadangkan dilaksanakan selama empat hari supaya memberi impak kepada kumpulan sasar dan menepati kehendak ‘stake holder’. Di samping itu, program ini dijangka memberi peluang kepada penglibatan peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.

12 komponen dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai pengisian program iaitu anugerah pertandingan HPPNK, konvensyen/seminar HPPNK 2019, showcase agroteknologi, agrotrip, agro kulinari, forum perdana ehwal Islam, pameran & jualan, kolaboratif program/majlis, agro youth camp, kewangan, promosi dan rakan strategik. Pada setiap kali penganjuran HPPNK, Pertandingan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan akan diadakan. Namun bermula tahun 2017, pertandingan ini diadakan dalam tempoh dua tahun sekali. Justeru, pada tahun 2019, pertandingan ini akan diadakan dengan 13 kategori yang dipertandingkan. Pemenang kategori-kategori ini akan diumumkan semasa HPPNK, manakala satu kategori pemenang dalam kalangan 13 penerima anugerah iaitu anugerah perdana, dicadangkan diumumkan semasa MAHA iaitu berselang seli dengan tahun HPPNK diadakan.

Apakah harapan dalam melihat kemajuan peladang dan sambutan HPPNK kali ini?

AZULITA: Saya percaya, penganjuran HPPNK setiap tahun dapat memberikan semangat kepada golongan petani, penternak dan nelayan negara kerana ini merupakan tanda penghargaan kepada mereka yang telah berkecimpung dalam bidang pertanian

Dengan menampilkan pelbagai pengisian semasa berlangsungnya HPPNK pada tahun ini, saya pasti ia mampu menarik lebih ramai pengunjung selain pelancong. seterusnya LPP berharap akan dapat memberi peluang industri kepada usahawan-usahawan tani untuk berkongsi idea di samping memberi manfaat kepada mereka yang mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian. Kita juga berhasrat melahirkan Agropreneur Muda supaya masyarakat peladang, penternak dan nelayan berjaya menukar mindset tradisional kepada lebih moden dengan mempraktikkan amalan pertanian baik yang merupakan kunci kejayaan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan berpendapatan tinggi.