KOTA TINGGI - Persatuan Gerakan Generasi Felda (PGGF) Johor mengambil inisiatif bersama Kelab Sukan Bermotor Kota Tinggi dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membangunkan kembali Litar Motocross Felda Air Tawar 4 melalui baik pulih yang dilakukan.
Pengerusi PGGF Negeri Johor, Muhammad Shah Saron berkata, usaha berkenaan juga bagi menarik anak muda kampung melakukan aktiviti sihat di litar berkenaan.
Menurutnya, melalui kerja baik pulih yang dilakukan litar berkenaan bukan sahaja boleh digunakan untuk aktiviti motocross malah boleh dijadikan trek berjoging dan juga aktiviti berbasikal.
Katanya, kerja berkenaan telah bermula pada hujung Julai dan telah siap kelmarin dengan kos sebanyak RM8,000 bagi kerja penambahbaikan.
"Litar motocross ini satu ketika dulu pernah menganjurkan perlumbaan peringkat kebangsaan dan negeri yang disertai oleh pelumba-pelumba luar negara seperti Thailand, Australia, Jepun, Amerika, New Zealand, Indonesia, Singapura dan beberapa pelumba dari negara lain.
"Usaha baik pulih dilakukan ini juga bertujuan untuk menyegarkan kembali tempat latihan pelumba tempatan yang semakin aktif menyertai pertandingan di daerah lain.
"Ia melibatkan kerja meratakan serta membersihkan kawasan litar yang telah lama tidak beroperasi," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, pihaknya juga bercadang menganjurkan pertandingan sempena bulan kemerdekaan bagi mempromosikan kembali litar berkenaan.
Jelasnya, apa diharapkan dengan kerja naik taraf trek berkenaan dapatlah golongan muda tempatan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dengan aktiviti sukan lasak itu.