SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap isu-isu yang lebih penting dan menangguhkan perkara-perkara yang dapat mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
"Saya tak fikir kita harus terburu-buru soal yang dapat menimbulkan ketegangan kaum seperti ICERD kerana kerajaan baharu ini perlu diberi sokongan supaya dapat menjana perubahan,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres PKR Nasional ke-13, hari ini.
Sebelum ini, Pas dan Umno menentang ratifikasi ICERD berikutan bimbang Perkara 153 dalam Perlembagaan akan terhapus.
Malah, kedua-dua parti juga merancang untuk mengadakan perhimpunan mega bagi menolak konvensyen tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Umno dan Pas cuba untuk menjadi jaguh kononnya bagi mempertahankan golongan Melayu namun hanya berdiam diri dalam isu skandal 1MDB.
"Kalau nak pertahan Melayu dan Islam, kenapa biar berbilion wang 1MDB dicuri sedangkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sudah keluarkan laporan. RM30 bilion kamu diam tapi sekarang nak jadi jaguh,” katanya.
Tambah Anwar, pihaknya juga akan membawakan isu ICERD di dalam mesyuarat PKR selepas ini supaya kerajaan dapat mengambil sikap sama bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk menyatakan pendapat.
"Biar Melayu dan bukan Melayu suarakan pendapat mereka. Kalau lebih timbulkan ketegangan, tangguhlah dulu ICERD ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid, Hadi bergabung bantah ICERD]