Sudah sampai masa Nuri direhatkan

Iklan
Helikopter Nuri - Foto sumber internet

HELIKOPTER Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri merupakan sebuah helikopter pengangkutan yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bermula pada 1968, perkhidmatan yang diberikan helikopter legenda itu cukup penting terutamanya dalam era insurgensi ketika negara berdepan dengan ancaman pengganas komunis.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menerjah usia 51 tahun, sudah sampai masanya ia direhatkan apabila telah banyak tragedi menimpa helikopter ini.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya sehingga kini sudah ratusan misi keselamatan serta misi bantuan dilaksanakan dengan jayanya sehingga ribuan nyawa berjaya diselamatkan.

Iklan

Berdasarkan statistik yang diperoleh, sejak 1969 sehinggalah nahas yang terbaru di Kem Gubir, Kedah pada Jumaat lalu, sudah 22 buah Nuri terlibat dalam kemalangan dengan lebih 90 kematian dicatatkan.

Ini termasuk insiden melibatkan sebuah Nuri ditembak jatuh pengganas komunis di Gubir, Kedah pada 26 April 1976 sehingga mengorbankan 11 penumpang termasuk anak kapal.

Iklan

Kali terakhir nahas Nuri sehingga menyebabkan kematian adalah pada 13 Julai 2007 di mana helikopter itu telah terhempas di kawasan hutan Genting Sempah, Pahang sehingga mengorbankan enam penumpang dan anak kapal.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk menaik taraf helikopter itu, namun usia yang sudah menjangkau lebih 50 tahun itu dilihat sudah tidak menjadikan Nuri relevan digunakan pada ketika ini.

Meskipun kerajaan sudah pun membeli helikopter baharu iaitu Eurocopter EC725 Cougar sejak 2012, namun ia dilihat masih belum mampu menampung keperluan pengoperasian ATM.

Pada 1 Jun lalu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menjelaskan bahawa melalui Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk menggantikan semua Nuri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Penggantian ini penting tatkala rakyat melihat Nuri sudah tidak lagi sesuai untuk dioperasikan dan kerajaan perlu memperuntukkan satu jumlah yang besar bagi pembangunan pertahanan negara pada ketika ini.