Perhilitan berjaya tangkap 'Awang Plang'

Iklan
Awang Plang berjaya ditangkap Perhilitan selepas lebih dua bulan berkeliaran di kawasan Kampung Rancangan Plang, Gerik.

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah liar yang dilaporkan telah merosakkan tanaman dan memasuki kawasan perkampungan Kampung Rancangan Plang di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya berjaya menangkap gajah jantan yang digelar 'Awang Plang' itu hasil operasi dijalankan oleh sepasukan lapan pegawai Unit Tangkapan Gajah (UTG) Gerik, Sungai Siput dan Selama sejak 27 Julai lalu.

Iklan
Iklan

"Pejabat Perhilitan menerima aduan gangguan haiwan liar dianggarkan berusia 20-25 tahun itu sejak dua bulan lalu. Penduduk berasa bimbang apabila mereka menemui kesan tapak dan tahi haiwan itu ketika berkebun dan menoreh getah.

Awang Plang dijaga oleh Pasukan UTG sebelum dipindahkan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Khamis ini.

"UTG menjalankan operasi sejak 27 Julai lalu dan hasil pemerhatian mendapati gajah liar berkenaan hanya bergerak seekor dipercayai terkeluar dari kawanan gajah lain selain mencari makanan di kawasan kampung itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, tangkapan terus dilakukan apabila haiwan liar dengan berat hampir dua tan itu mula menghampiri rumah penduduk.

"Gajah berkenaan di bawah pemantauan unit UTG Gerik dan keadaannya disahkan sihat.

Iklan

"Pasukan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang dipanggil untuk membantu memindahkan gajah berkenaan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Khamis ini," katanya.