SEREMBAN - Polis mengesahkan video kemalangan yang tular di media sosial melibatkan sebuah kenderaan perisai tentera dengan sebuah kereta di Jalan Lingkaran Tengah, Seremban berlaku pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Mengulas insiden terbabit menurutnya, kejadian berlaku jam lebih kurang 4.30 petang melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira.
"Kereta tersebut dipandu seorang wanita berumur 22 tahun bersama tiga orang penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Sikamat menuju ke Nilai.
"Hasil siasatan awal, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta perisai jenis Gempita AV8 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari lorong kiri dipandu seorang anggota tentera terlanggar bahagian belakang kereta Proton Wira tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Said berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan kereta Proton Wira berpusing dan terbabas ke kanan bahu jalan.
"Berdasarkan siasatan awal, kenderaan perisai tersebut sedang dalam perjalanan dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang ingin menuju ke Port Dickson bagi menghadiri Perbarisan Kor Armor Diraja bersama lima lagi kereta perisai tentera yang diiringi sebuah kenderaan tentera.
"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya.