Pemandu Grab sembunyi wang pelakon didenda

Iklan
Che Wei (hadapan) bersama dua rakannya, Yee Shin dan Ka Wai dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

SHAH ALAM - Seorang pemandu Grab didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyembunyikan RM9,000 milik seorang pelakon tambahan, Mei lalu.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahri menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Che Wei hari ini.

Iklan
Iklan

Che Wei, 23, yang ditahan sejak 27 Julai lalu mengaku melakukan kesalahan itu secara perpindahan atas talian oleh mangsa, Mohd Sazali Samiman ke dalam akaun Maybank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 Shah Alam dan Maybank Cawangan Sg Buloh antara jam 11.31 pagi dan 5.51 petang pada 20 Mei lalu.

Iklan

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh manakala Che Wei yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan.

Iklan

Di mahkamah berasingan, dua lagi rakan Che Wei didakwa atas dua pertuduhan menipu menjual kereta Toyota Vios yang tidak wujud kepada Mohd Sazali menerusi laman pasaran atas talian, Mudah.my.

Bagaimanapun, Oon Yee Shin dan Yap Ka Wai mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Yee Shin, 26, Ka Wai, 26, didakwa menjual Toyota Vios 1.5(A) tahun pembuatan 2005 yang tidak wujud di laman sesawang tersebut sehingga mendorong Mohd Sazali memasukkan wang RM9,000 ke dalam akaun Che Wei.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Kubu Gajah Seksyen U17, dekat sini jam 11 pagi dan 5. 51 petang pada 20 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mencadangkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin.

Yee Shin dan Ka Wai yang merupakan pelajar kolej memohon jaminan rendah.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes disebut semula pada 17 September depan.